Skip to main content

Aku budak asrama (SMKA Al-Irshad 1984-1988)






Zaman dulu, anak siapa yang berjaya mendapat tawaran ke sekolah berasrama, dah macam dapat masuk universiti gayanya. Tahun 1984 aku mendaftar di Sekolah Menengah Agama Al-Irshad. Semasa itu masih di bangunan lama yang terletak di Padang Menora, Tasek Gelugor, Pulau Pinang. Terdapat 3 blok bangunan batu berbentuk U dan sebuah lagi kelas yang tak ada tingkap dan cuma ada jaring dawai menggantikan tingkap dan dinding papan. Warga sekolah lebih mengenalinya sebagai 'kandang kuda'.

Setiap pelajar akan ditempatkan di rumah-rumah sewa yang ada di dalam kampung-kampung di keliling kawasan sekolah. Ada asrama A, B dan C. Aku ditempatkan di asrama A. Setiap asrama ada ditempatkan seorang warden yang dilantik oleh pihal sekolah bagi mengawasi kami. Encik Mustafa atau lebih dikenali sebagai abang Mus dipertanggungjawabkan menjaga asrama A. Beliau masih bujang ketika itu. Orangnya kacak, berkaca mata dan berambut 'afro'. Beliau sangat mesra dengan kami. Rasanya tak pernah aku dengar beliau meninggikan suara dengan kami.

Hari pertama memasuki asrama A berjalan lancar. Namun ada sedikit kesedihan kerana terpaksa berpisah dengan emak dan ayah buat pertama kalinya. Terasa kekok bila melangkah ke alam baru dengan kawan-kawan yang belum pernah dikenali. Tapi inilah yang akan bersama aku samada sehingga tingkatan tiga. lima atau enam.

"Reejal... hang anak cikgu Pin kan?' tiba-tiba ada seorang rakan berkulit cerah dan kurus menegur aku.

"Macamana hang kenai aku?"

"Alaa.. kita dulu tadika sama-sama dulu dengan cikgu Mat Celepete ( Nama gelaran cikgu kami dulu)"

"Oh ya ka? lama tak jumpa aku tak berapa perasan sangat dah ni hehehe"

" Dulu kita kan sama-sama dok mengorat Zaiton"

"Aisehh." kataku dalam hati. Sampai macam ni punya bongkar kisah lama nak bagi aku ingat semula kisah cinta monyet zaman tadika.

Ya, aku masih ingat lagi si Zaiton ni. Sangat cantik orangnya. Menjadi kegilaan kami satu tadika...
Tiba-tiba aku  teringat adegan kejar mengejar dicelah-celah taman bunga mini dalam kawasan sekolah. Macam cerita filem Hindi.  Tapi...di mana ada aku, di situ ada Hilmy yang lebih popular dengan gelaran Hilmy Kapten. Aku merungut dalam hari "Asal aku mimpi je kau datang Labiiii... kacau daun betul".


Makan malam.

Malam berlabuh... petang itu langit terlalu kekuningan seperti silauan emas 918. Aku dan rakan-rakan dah siap sedia mandi dan berwangi-wangian. Semuanya seragam berbaju melayu dan bersarung pelikat serta bersongkok hitam. Kami diarahkan oleh abang-abang senior untuk beratur dan berjalan beramai-ramai ke masjid yang tidak jauh daripada rumah asrama kami. Kami melalui celah-celah rumah-rumah kampung. "Assalamualaikum pakcik...assalamualaikum makcik..!" kami memberi salam setiap manusia yang kami jumpa. Maklumlah 'bakal ulamak', kena la tunjuk alim sikit.

Kami duduk dalam kumpulan menunggu azan dikumandangkan. Tiba-tiba tok bilal tunjuk muka aku,

"Hah.. hang pi azan!" Kebetulan aku dah biasa azan di masjid di kampung aku, jadi tidaklah aku 'gabra' sangat. Selamba saja aku melaungkan azan. Tiba-tiba aku tertukar sebut 'Hayya 'alal falah' dahulu baru aku sebut 'Hayya 'alas solah'. Kawan-kawan dah terbeliak memandang wajah tok bilal tadi. Bimbang tok bilal marah. Tapi mujurlah dia 'mood' baik petang tu, dia senyap saja. Aku sudah rasa ada sesuatu yang pelik dalam azan aku tadi.

"Wei... hang azan terbalik!' bisik Hilmy.

"Hahh..ya ka? aduhh.." malu pun ada, takut pun ada. Tapi mujurlah kawan-kawan aku semua macam OK saja. Aku merungut dalam hati " Eii.. malunya. Itu lah hang, 'over-confident' sangat'. Aku marah pada diri sendiri sambil mengetuk-ngetuk kepala sendiri.

Selesai solat maghrib, kami dalam sepuluh orang sahaja, beratur lagi dan berjalan menuju ke sekolah untuk makan malam. Kami terpaksa melalui batas-batas bendang yang sangat gelap malam itu. Yang bawa lampu suluh hanya beberapa orang. Gelap..memang sangat gelap.

'Wei.. ada hantu dak?" tiba-tiba perkataan 'Hantu' disebut ditengah-tengah bendang yang gelap gelita itu. Aku dah tak ingat mulut siapa yang celupar sangat malam-malam begini.

"Apa hantu-hantu?!" marah rakan yang lain yang juga aku tak nampak wajahnya kerana terlalu gelap.

"Hoi.. diamlah!" sahut seorang lagi tanda tak puas hati. Masing-masing dah mula ketakutan. Aku berdoa dalam hati, janganlah hantu betul-betul muncul tengah-tengah bendang ini. Jenuh juga kalau nak memecut atas batas bendang yang cukup-cukup satu atau dua tapak kaki sahaja lebarnya. Kaki kami terus melangkah. Rentak kaki sudah tidak senada dan seirama lagi. Sesekali mata kami memandang di sekeliling bimbang kalau hantu dengar dan muncul di belakang kami. Tiba-tiba...

"Hannntuuuuu....!!!" jerit kawan yang paling belakang. Apa lagi.. kami pakat cabut selipar, dan memecut ke arah sekolah yang samar-samar cahayanya kelihatan dari tengah bendang.

"Hantuu..hantuuu..." kedengaran jeritan perkataan 'hantu' sahut-menyahut daripada tengah-tengah bendang di dalam malam yang pekat. Kami memecut tak cukup tanah. Cemas yang tidak terkata. apatah lagi tempat itu tempat yang kami tak biasa. Siapa tahu, kawasan tadi betul-betul berhantu.

Kami sampai di kantin dalam keadaan berpeluh. Mujurlah bendang masih kering. Kalau tidak tak tahulah rupa kami malam itu. agaknya dah seperti kerbau lepas berkubang. Juadah malam itu kami makan dengan tenang. hati masih terkenang emak ayah di rumah. Masing-masing tak banyak berbual. lagipun masa sangat terhad. Selepas makan kami perlu berjalan kaki semula ke masjid untuk solat Isyak.

Kami terpaksa balik melalui jalan yang sama. 'Short -cut' ikut jalan bendang. Kami menghayun kaki semula di celah-celah malam yang gelita.
"Wei... kali ni jangan sapa dok buat macam tadi naa!" bunyi salah seorang daripada kami memberi amaran tegas.

"Jangan dok sebut hantu malam-malam macam ni" tambahnya lagi. Kalau tak silap aku suara itu suara Zul. Setelah beberapa bulan berkawan, dialah manusia yang paling takut dengan hantu.

"ok..ok"... sahut seorang lagi.

Kami berjalan dengan senyap sekali. Bunyi cengkerik dan katak memecah kesunyian di tengah-tenga bendang yang gelap dan dingin. Sesekali mata kami merayap ke kiri dan kanan. Takut hantu dengar kehadiran kami. Semuanya diam membisu.

"Hantuuuuu....!!!" tiba-tiba ada rakan memekik dan berlari laju memintas kami semua. Tanpa fikir panjang, semua semua cabut lagi sekali selipar dan melakukan acara pecut kali kedua untuk malam itu.

"Hantuu..hantuuu !!!" nama hantu disebut lagi mengiri acara larian kami malam itu sampai ke masjid untuk solat. Terbatuk-batuk kami kerana terlalu penat memecut. Entah siapa tadi yang mulakan tadi aku pun tak tahu kerana segala-galanya berlaku dalam gelap yang amat pekat.

"Awat hangpa ni?' tanya seorang pak cik di masjid sambil menunggu azan isyak.

"Tak pa..tak pa, hehehe.." jawab aku ringkas.

"Celaka sungguh sapa gempaq kita tadi" gerutu salah seorang kami.

"Malam esok kita balik kot lain lah" kataku.

"Allahu akbar Allahu Akbar..!" azan dilaungkan. Kami segera berwuduk dan solat berjemaah.



Sessi taaruf

Sesudah balik dari masjid kami, kami diarahkan oleh abang-abang senior.

"Depa ni tak pi masjid ka tadi" tiba-tiba Faishol berbisik  ke telingaku.

"Tak tau lah... depa suruh kita pi masjid, depa tak pi pun" kataku sebagai luahan rasa tidak puas hati.

"Ok..ok.. semua dah ada ka?" abang Mat Radi (Allahyarham, meninggal disebabkan kanser otak)  memulakan bicara.

"Kita nak buat sesi ta'aruf malam ni" sambut pula abang Fazli yang bermuka bengis sama sahaja seperti muka abang Mat Radi. Cara mereka bercakap dan duduk aku lihat sudah lagak 'samseng kampung dusun' dalam filem P. Ramlee. Kami semua memandang mereka dengan rasa takut dan bimbang diapa-apakan.

Sessi taaruf pun dimulakan.

"Nama aku Mohd Radi. Aku lahir di sebuah bandaraya yang pesat membangun, kota metropolitan, nama diberi Bandaraya Permatang Pauh" sambil ketawa sendiri. Kami hanya mampu tersengeh dengan lawak bodohnya.

Aku ketika itu 'Permatang Pauh' pun aku tak pernah dengar. Tiba-tiba dah jadi 'kota metropolitan'. Kami mula menghidu 'malapetaka' malam pertama kami.

Selepas seorang demi seorang abang-abang senior memperkenalkan diri. Tibalah giliran kami pula.

Hilmy adalah orang pertama seingat aku.

'Hah..tunggu apa lagi?" kata abang Mat Radi sambil memandang kawan tadikaku Hilmy.

"Nama saya Nurhilmy Bin Abdul Halim"

"Nur???" tiba-tiba abang Fazli punya menyampuk.

"Ya"

"Hahaha.. aku ingat nama pompuan" Abang Fazli mula mempersendakan nama. Nampak sangat niat jahatnya.

"Saya orang Bujang ( Kampung Bujang di Merbok, Kedah)

"Haahaahaa..." abang-abang senior beramai-ramai mentertawakan Hilmy kerana status 'bujang'nya itu.

"Memang hang dilahirkan sebagai orang 'bujang' la selama-lamanya..hahaha"

"Ya.. saya ditakdir sejak azali jadi orang 'bujang' hehehe" jawab Hilmy selamba.

Kami semua tak tertahan lucu denga jawapan Hilmy. Dalam ketakutan kami tetap tak mampu tahan diri daripada ketawa dengan jawapan lucu Hilmy.

Aku tengok abang Fazli. abg Mat Radi, abang Sofi, abang Azizan (Allahyarham) dan abang Bul (Hasbullah) dah berguling-guling ketawa memecah keseriusan majlis taaruf malam itu.

"Apa cita-cita hang bila besaq nanti?" tanya abang Mat Radi

"Saya nak jadi kapten kapal"

"Kapten kapal?"

'Ya"

Tiba-tiba sekali lagi suasana menjadi gamat semula dengan gelak ketawa yang kuat. Ya lah, masing-masing tak pernah terfikir ada orang masuk sekolah arab untuk menjadi 'kapten kapal'. Mulai malam itulah, nama sahabat tadika aku ini lebih popular sampai ke hari ini dengan nama 'Hilmy Kapten'.


Sessi taaruf diteruskan lagi, satu demi satu nama-nama kami jadi bahan sendaan abang-abang senior. Geram pulak hati aku dengan kelakuan ala-ala samseng mereka. Tapi ada seorang abang senior yang nampak lebih banyak diam. Namanya Azizan (Allahyarham, meninggal dunia disebabkan kanser kulit). Orangnya segak, hidung mancung dan berkulit agak gelap. Bicaranya agak gagap, tetapi setelah beberapa minggu tinggal di situ, rupanya beliau seorang qari Al-Quran yang sering mewakili sekolah. Malam itu beliau lebih banyak memandang dari jauh. Ada riak-riak tidak suka dengan cara abang-abang senior yang lain melayani kami begitu. Tapi apakan daya, beliau seorang diri.

"Ok, mulai malam ni, aku nak hangpa semua mesti bagi salam setiap kali jumpa abang-abang ni semua. Siapa aku tengok dok buat eksyen tak mau bagi salam, aku boh penampaq. Faham?" Nah amaran pertama daripada abang Fazli. Kami semua hanya mengangguk tanda faham dan takut.


"Yang kedua, mulai malam ni, hangpa semua mesti basuh baju seluaq kami semua" sambung abang Fazli.

Kami dah mula rasa tak senang dengan arahan yang kedua ini. Tapi kami tiada pilihan, tengok muka abang Fazli dan Mat Radi yang bengis sudah cukup untuk menakutkan kami.

"Hah... tunggu apa lagi? hangpa  turun bilik mandi sekarang ni jugak dan  buat apa aku suruh"

Kami semua bangun dan menukar kain sarung kepada track suit untuk acara mengkhadamkan diri kepada 'samseng-samseng kampung dusun'.


Beberapa baldi yang telah sedia di dalamnya pakaian abang-abang senior kami ambil dan mula menjalankan kerja-kerja mencuci dan memberus. Paling kami benci ialah terpaksa mencuci seluar dalam mereka. Rasa jijik dan geli-geleman terpaksa kami abaikan demi mengelakkan 'penampar Jepun' abang Fazli.

Kami memberus bersungguh-sungguh kerana bimbang abang-abang senior tidak puas hati dengan hasil kerja kami.

Malam itu kami semua tidur dalam keadaan hati yang marah dan kecewa dengan apa yang kami lalui tadi terutamanya tentang paksaan mencuci baju abang-abang senior. Asrama kami tiada katil. Yang ada hanyalah tilam yang disusun secara memanjang. Aku pilih tempat yang paling hujung dan rapat dengan dinding papan rumah asrama itu.

Malam berlalu, tiba-tiba aku terjaga ditengah malam kerana dikejutkan dengan satu bunyi yang aneh. Dinding papan disebelah aku itu berbunyi seperti dicakar-cakar sesuatu. Dan aku turut mendengar bunyi seperti ada orang sedang menggergaji papan ditengah-tengah malam yang sunyi itu. Aku berpaling mengadap Faishol yang tidur di sebelah aku. Aku nampak dia juga sedang membuka mata dan memandang aku. Tiba-tiba kedengaran seperti ada sesuatu berjalan di atas bumbung rumah. Aku dan Faishol hanya mampu saling memandang antara satu sama lain tanpa berani berkata apa-apa. Orang lain semuanya kelihatan sedang nyenyak. Memang agaknya kami berdua 'insan terpilih' pada malam itu untuk mendengar aktiviti makhluk Allah di malam hari. Kami berdua lelapkan semula mata dan menyambung tidur. Walaupun ketakutan, rasa mengantuk telah menyelamatkan kami daripada melayan makhluk malam itu.


Hari Pertama Persekolahan.

Pagi itu, Allahyarham abang Azizan mengejutkan kami semua. Kesian pula aku tengok beliau terpaksa mengejutkan hampir semua. Setelah seorang demi seorang bangun dan pergi ke bilik mandi, beliau mula mengalunkan ayat-ayat suci Al-Quran. Aku terpaku seketika terpukau dengan kemerduan suara abang Azizan. Aku bagai tak percaya, insan yang terkenal dengan gagap ini mampu membaca ayat Al-Quran dengan sangat merdu dan lancar sekali.

Aku dan yang lain bergegas ke bilik mandi untuk membuat persiapan ke masjid untuk solat subuh. setelah semuanya siap, kami mengikuti abang Azizan membelah keheningan pagi untuk ke masjid. Samapi di masjid, abang Azizan pun menghidupkan pembesar suara dan mula melaungkan azan. Allah...!, merdunya suara abang Azizan.

Selesai solat subuh, kami pun balik ke asrama untuk menukarkan pakaian untuk ke sekolah. Segala-galanya serba baharu. daripada songkok sampailah ke kasut. Sebaik sahaja meletakkan songkok di kepala, hati aku berbisik "Akhirnya... hang jadi ustaz hehehe". Belum apa-apa sudah perasan jadi ustaz.

Hari pertama kami di sekolah dimulakan dengan perhimpunan. Lagu Negaraku dan lagu Negeri Pulau Pinang dinyanyikan. Aku sebagai anak Kedah hanya mampu terkebil-kebil kerana tak tahu lirik dan rentak lagu negeri ini. Satu demi satu ucapan diberikan kepada kami. Penutupnya ialah ucapan ustaz Morat (Allahyarham)  selaku pengetua. Ucapan beliau amat panjang sedangkan kami dah lenguh berdiri lama. Matahari makin terik. Tuan pengetua terus mengulang-ulang ayat "Saya tidak ingin bercakap  panjang". Tapi ucapan beliau seolah masih 'tak jumpa titik berhenti'. Setelah begitu kerap beliau 'tidak ingin bercakap panjang' itu disebut berulang-ulang, akhirnya beliau jumpa juga titik untuk berhenti. Para pelajar semua menarik nafas lega. Matahari mulai terik.kami dibawa oleh para pengawas ke kelas yang telah dikhaskan untuk tingkatan satu. Memang sudah ku duga, 'kandang kuda' itulah kelas kami.  Bahang panas dari luar amat terasa walaupun kipas diputar pada kelajuan maksimum.

Awal hari persekolahan agaknya guru-guru masih terlalu sibuk. Kelas kami belum ada guru. Maka riuh rendahlah kelas kami dengan berbagai topik perbualan. Riuh rendah semakin menjadi-jadi. Tiba-tiba...

'Pangggggg...!!! satu dentuman yang amat kuat membingitkan telinga kami dan membuatkan mata kami semuanya terpejam kerana terlalu terkejut.

"Hoi.... ini kelas tau dak? ini bukan market ikan" tengking cikgu Yusof yang berjambang dan berkaca mata. Kami semua menggeletar ketakutan. Begitulah garangnya cikgu zaman dahulu. Cikgu sentiasa betul dan murid tak boleh menjawab apa-apa. Mana tak bisingnya, cikgu pun tak masuk kelas. Budak-budak, normallah. Tapi prinsip zaman itu 'Teachers are always right'.

Selepas cikgu Yusof berlalu pergi, kelas masih senyap lantaran terlalu terkejut dengan hentakan sebatang kayu ke meja kayu kelas kami. Tak ada siapa yang berani lagi buat bising.

Selang beberapa ketika, seorang guru yang sudah berusia, cerah wajahnya, senyuman sentiasa terukir di wajahnya, cikgu Md Noor (Allahyarhan) masuk ke kelas kami. Beliau terkenal di sekolah kami sebagai seorang yang tak pernah marah dan seorang yang sangat dermawan. Menurut cerita cikgu-cikgu lain, di rumah beliau sentiasa ada stok beras kampit 5 KG. Sesiapa sahaja yang bertamu di rumah beliau, pasti akan dihadiahkan sekampit beras tersebut. Beliau meninggal dunia kerana terjatuh ke dalam perigi di rumah beliau. Semoga Allah merahmati beliau.

Cikgu Md Noor masuk ke kelas dan mula menyantuni kami. Beliau bertanya nama dan asal kami semua. Suara dan tutur kata beliau yang sangat lembut membuatkan kami cepat mesra dengan beliau. Hari pertama kami dengan beliau dihabiskan untuk berkenalan dan bertukar-tukar cerita dan pengalaman. Setidak-tidaknya hari pertama kami sedikit terubat setelah di'hentak' dengan kayu oleh cikgu Yusof tadi.

Hari pertama persekolahan kami berakhir jam 2.30 petang. Setelah makan tengahari dan solat zohor, kami berjalan pulang ke asrama.

"Hah.. tunggu apa lagi. Baju-baju dalam baldi tu semua bila nak basuh?" tengking abang Fazli kepada kami semua. Belum pun sempat kami tanggalkan uniform sekolah. Kami cepat-cepat tukar pakaian dan memulakan tugas sebagai 'khadam' abang-abang senior.

"Haram betoi depa ni !...spender depa pun kita kena basuh" ayat kasar mula keluar daripada mulut salah seorang daripada kami.

"Woi, dengaq kat abang Fazli sat lagi, mampoih hang" sahut yang lain memberi amaran.

'Tak kira la... ingat kita ni siapa nak basuh spender depa" protes  Zul. Dalam kumpulan kami, Zul paling lancang mulutnya dan panas baran. Kami pun kalau silap cakap, dia akan buka langkah Taekwondonya. Begitu bangga Zul ini dengan tali pinggang kuningnya dalam taekwondo. Aku yang tak pernah belajar apa-apa seni mempertahankan diri pun rasa takut juga dengan tendangan taekwondonya itu.

Selesai membasuh dan menyidai pakaian abang-abang senior. Kami naik semula ke atas rumah untuk berehat dan membuat persiapan untuk kelas 'prep' (belajar sendiri waktu petang). Tiba-tiba abang Fazli dan tengking Zul. Aku tak ingat bagaimana bermula. Tapi memang kes Zul protes tentang basuh spender. Abng Fazli mula tinggikan suara, Zul pun tak mahu mengalah dan mula melawan. Bukan setakat itu, Zul dah mula buka langkah taekwondonya seolah-olah nak lepaskan tendangan kepada abang Fazli. Abang Fazli sudah hilang sabar dan meluru ke arah Zul dan mencekik leher Zul sambil menjulang ke dinding. Zul tergapai-gapai tak dapat bernafas. Aku nampak kaki Zul tergantung di udara. Boleh tahan juga kekuatan abang Fazli hanya dengan sebelah tangan Zul tergantung di dinding. Urat-urat tangan abang Fazli jelas kelihatan. Bukan calang-calang abang Fazli ni.

"Hang nak lawan dengan aku lagi" suara abang Fazli makin tinggi sambil mukanya mula merah padam akibat marah kerana dicabar oleh junior yang baharu tingkatan satu.

"Tak mau..tak mau !" jawab Zul terketar-ketar seperti nak menangis.

Suasana rumah asrama kami sunyi-sepi seketika dengan insiden Zul kena 'sidai' kat dinding.  Kami yang bertubuh kecil memang tak mampu nak melawan kekuatan abang-abang senior.

"Ok..ok..pi buat kerja masing" Abang Azizan yang paling mesra dengan kami cuba meredakan suasana yang agak tegang itu.


Pada malamnya, selepas selesai makan malam dan memunaikan solat isyak, abang Fazli mengarahkan lagi kami untuk membasuh pakaian abang-abang senior yang lain. Kami semua akur dan tidak berani melawan lebih-lebih lagi setelah Zul kena 'sidai' ke dinding siang tadi.

Kami angkut pakaian dan menuju ke bilik mandi untuk melaksanakan arahan. Kami memberus bersungguh-sungguh kerana bimbang nanti dikenakan  hukuman lagi jika tak bersih.

"Rajin hang no" tiba-tiba Abang Bul muncul dari belakang aku.

Aku hanya tersenyum tawar.

"Buat apa la susah-susah berus macam ni. Mai aku nak ajaq hang cara paling cepat" kata abang Bul sambil mengambil baldi dan sabun serbuk pencuci pakaian.

Abang Bul isi air dalam baldi dan memasukkan sedikit sabun serbuk pencuci ke dalam baldi. Kemudian abang Bul merendam dan mengangkat semula pakaian beberapa kali sehingga semuanya terkena wangian sabun serbuk tadi.

"Dah... siap!" kata abang Bul.

Aku sedikit terkejut dengan taktik cucian abang Bul tadi.

"Bersih ka lagu ni?" kataku kepada abang Bul.

"Alaa.. depa bukan nak tau. Yang penting depa bau sabun..hehehe" abang Bul ketawa dah pergi.

"Betul juga" kataku dalam hati.

Bermula malam itu, semua pakaian abang-abang senior yang cuba dera kami, kami hanya guna taktik abang Bul sahaja. Padan muka mereka.. Sampai sekarang rasanya mereka tak tahu apa yang kami buat. Begitulah rutin kehidupan kami sehari sampai beberapa bulan.



Sekolah Baharu.

Kalau tak salah aku, kami sempat belajar di dalam 'kandang kuda' hanya 3 bulan.

"Anak-anak yang dikasihi sekelian, bangunan sekolah kita di Simpang Keling sudah pun siap. Kita akan mula melakukan kerja-kerja pemindahan mulai minggu ini. Setiap petang bas akan datang dan membawa kamu ke sekolah baru kita untuk kerja-kerja gotong royong.."

Macam-macam perkara dan arahan disebut oleh tuan pengetua dengan panjang lebar. Kami sudah tidak larat lari berdiri. Matahari sudah meninggi. Seperti biasa, pengetua memberi ucapan dengan ayat keramat beliau..

"Saya sebenarnya tidak bercadang untuk bercakap panjang..."

Aduh.. kami sudah dapat mengagak beliau akan berkata begitu.

"Hmm...ya lah tu" rungut beberapa pelajar yang sudah gelisah berdiri di bawah teriknya matahari.

Mulai saat itu, setiap petang kami diangkut sekolah baru untuk kerja-kerja menyiapkan sekolah. Ternyata bukan untuk kami sahaja, tetapi juga untuk generasi adik-adik yang datang kemudian sehinggalah pelajar-pelajar SMKA Al-Irshad yang ada sekarang dan akan datang.  Kami dipecahkan kepada beberapa kumpulan di bahagian seliaan seorang guru. Kami angkut katil-katil yang masih dalam bungkusan plastik melalui tangga daripada bawah sehingga ke tingkat dua dan tiga bangunan asrama lelaki mahupun asrama perempuan. Begitu juga kamilah yang angkut papan tulis, kerusi dan meja untuk pejabat dan kelas-kelas di bangunan pentadbiran dan kelas. Bukan setakat itu sahaja, kadang-kadang kami korek lubang-lubang bagi tujuan penanaman pokok-pokok. Semoga coretan ini menjadi ingatan abadi untuk kami dan generasi SMKA Al-Irshad yang selepas kami.



Berpindah.

Sekolah baharu, kelas baharu, meja baharu, pendek kata segala-galanya baharu belaka. Bukan semua orang berpeluang merasai apa yang kami rasa ini. Apatah lagi kami yang pernah belajar dalam kelas yang dikenali dengan nama kandang kuda. Perhimpunan pagi Isnin yang pertama sungguh bermakna. Seorang demi seorang guru bertugas dan pengawas yang bertugas naik ke pentas yang diperbuat daripada batu. Sungguh cantik pada mata kami. Seperti biasa, ucapan penutup oleh tuan pengetua Haji Morat.

"Baiklah, saya tidak bercadang untuk bercakap panjang...."

Menggerutu hati kami asyik mendengar ayat yang sama sedangkan kami sudah lenguh berdiri.

"Saya tidak bercadang untuk bercakap panjang..." sudah empat atau lima kali ayat ini diulang-ulang tapi masih belum bertemu noktah akhir.


"Eeii.. awat lama sangat ni...." ayat biasa yang akan keluar dari mulut para pelajar.

Minggu yang pertama agak kucar-kacir. Cikgu ada yang sempat masuk kelas dan ada yang tak sempat. Lebih kecoh lagi, rupanya ada lagi ambilan kedua untuk tingkatan satu. Kadang-kadang kami seolah-olah ada sedikit cemburu kepada kumpulan ambilan baharu yang tak perlu berpenat lelah seperti kami mengangkut berbagai perabot dan sebagainya. Terus dapat menikmati sekolah baharu. Tapi bila mengenangkan pahala dari Allah, kami bersyukur kerana diberi peluang menabur bakti untuk generasi akan datang.


Kelas Bahasa Arab.

Hari kedua kelas bahasa arab bermula. Ustaz Ibrahim (Allayarham) masuk ke kelas kami untuk menyambung pelajaran semalam. Entah apa yang tak kena, wajahnya hari itu agak serius,

"Anta, baca 'dhomir' (gantinama ) yang saya bagi semalam. Sambil menunjukkan kepada kawan aku yang lebih dikenali dgn Pak John.

Terkebil-kebil Pak John kerana belum hafal lagi.

Panggg..!!!! tiba2 satu tamparan yang sangat kuat hinggap di pipi Pak John sehingga kepalanya terhantuk ke tingkap cermin. Bunyinya sungguh kuat sehingga kami semua menggeletar. Begitulah garangnya guru-guru zaman itu.

Malangnya tiada seorang pun yang sudah menghafal apa yang ustaz Ibrahim kehendaki, Seorang demi seorang kena pulas perut.. Sakitnya Tuhan sahaja yang tahu. Tapi lebih kasihan lagi nasib yang menimpa kawan kami itu Pak John. Tapi orang cakap tangan tok guru berkat. Pak John sekarang adalah seorang doktor perubatan dan ada klinik sendiri.


Geng Lebai.

Aku dan kapten ditempatkan di bilik Saidina Ali. Antara yang sebilik dengan aku yang aku masih ingat ialah abang Paq Petola, Md Rani, Allahyarhan  Abdul Hakam, Rolhizam, Adli , Le Coq. Faishol dan Fauzi Siam (sekarang tok guru di pondok Bukit Besar). Bilik kami orang biasa-biasa sahaja. Sebelah bilik kami ialah bilik Saidina Uthman. Bilik sebelah tu riuh siang dan malam dengan bunyi kaset ceramah Tuan Guru Haji Hadi Awang ( Presiden PAS sekarang). Ini semua kerja Pak Ngah Asri ( Dr MAZA, Mufti Perlis sekarang). Siang malam kerja Pak Ngah ialah putarkan kaset ceramah Tuan Guru Haji Hadi Awang (TGHH). Pak Ngah sangat berminat dengan ceramah TGHH. Aku yang tak tahu apa-apa tentang parti politik mula dengar sikit-sikit apa yang menarik sangat tentang politik. Sesekali aku ziarah bilik sebelah... masyaAllah almari pakaian Pak Ngah penuh dengan kaset ceramah TGHH.

"Sesungguhnya perlembagaan kita hari ini adalah perlembagaan taghut!!!!"

"Barangsiapa yang tidak berhukum dengan hukum Allah mereka adalah golongan fasiq...kafir.."

Begitulah antara ayat-ayat keramat yang Pak Ngah sering ulang-ulang setiap kali diberi amanah untuk menyampaikan tazkirah selepas maghrib atau ketika bersembang-sembang tentang agama. Aku yang ketika itu masih ketinggalan tentang istilah-istilah ini. Tapi Pak Ngah dah pun kuasai istilah-istilah ini. Bukan setakat kaset, buku-buku tulisan TGHH pun dah lunyai diselak oleh Pak Ngah.

Aku tak berapa suka untuk merapatkan diri dengan Pak Ngah disebabkan Pak Ngah ada geng sendiri. Antara yang rapat dengan Pak Ngah ialah Pak Nan (Dr Aznan UIA), Mat Nira (Allahyarham) dan beberapa orang lagi. Mereka geng pakai serban, muka serius mcm nak telan orang dan berpewatakan nak hukum orang lain itu haram dan ini haram.Serius aku cakap memang mereka ni menyeramkan aku. Mereka berjalan ke hulu ke hilir dalam kumpulan mereka. Kami panggil mereka 'Geng Lebai'.




Maruku dari kampung.

Rasanya siapa yang pernah tinggal kat asrama tahu bagaimana 'laparnya' budak-budak asrama. makanan kat asrama tak pernahnya sedap walaupun sebenarnya dah cukup sedap. Apabila ada makanan dari kampung, kawan-kawan sebilik akan serbu beg dan habiskan segala yang ada. Untuk simpan makanan memang hampir tak ada harapan. Aku ingat lagi peristiwa Allahyarham Abdul Hakam bawa ke bilik tiga bungkus wafer. Belum sempat beliau makan, kami serbu beramai-ramai. Akhirnya wafer tu semua hancur jadi serbuk. Satu pun tak berbaki. Oleh kerana itu, nak bawa makanan ke bilik atau makan dalam bilik perlu ada strategi yang diatur dengan rapi.

Pada suatu malam, seperti biasa tepat jam 11 semua lampu akan dipadamkan....

"Wei Kapten...!!!" aku panggil kapten sembunyi-sembunyi.

"Awat?" tanya Kapten.

Aku dan Kapten satu katil. Aku tingkat atas dan Kapten tingkat bawah.

"Aku ada maruku. Hang nak dak?"

"Boleh jugak" jawab Kapten juga dengan nada berbisik bimbang kawan-kawan lain terdengar.

"Nak makan kat mana?"

"Ikut hang la"

"Mmm... kat tandas lah. Kat situ depa tak dengaq bunyi maruku"

"Ok.. boleh. Hang pi dulu"

"Ok"

Aku pun turun daripada katil perlahan-lahan. Aku buka almari aku perlahan-lahan supaya tak kejutkan insan-insan tak tahu apa erti 'kenyang'.  Aku ambil bungkus maruku yang emak aku bawa petang tadi dan cepat-cepat pergi ke tandas dan kunci.

"Wei..hang dlm jamban mana?" tanya Kapten setibanya dia dalam tandas.

"Jamban no 3"

"Ok..ok" sahut Kapten.

Aku pun buka bungkusan maruku dan hulur ke atas kepada Kapten di jamban sebelah. Kami makan maruku malam tu sampai habis. Padan muka kawan-kawan lain tak boleh makan.



Burger Brahim Kundoq.

Penyakit 'lapar' budak-budak asrama kadang-kadang macam tak masuk akal. Asal masuk makanan 'dalam kawasan' sahaja. mesti kena serbu macam 'Red Indian'. Siapa yang bawa makanan mesti pandai sorok. Aku masih ingat suatu petang Brahim Kundoq beli burger bawa masuk asrama. Tiba-tiba ada satu suara menjerit dengan kuat.

"Woi..kawan-kawan semua. Brahim Kundoq bawa burger....!!!!"

Masa tu aku dan kawan-kawan sedang baring-baring atas katil. Sebaik sahaja kami dengar 'pengumuman' tadi. Tiba-tiba dengan serentak kami bergegas bangun dan berlari keluar untuk kejar Brahim Kundoq. Bukan bilik kami sahaja, malah semua penghuni asrama keluar untuk kejar sebiji burger yang dibawa oleh Brahim Kundoq. Bayangkan satu asrama mengejar seketul burger. Kalau dapat pun takkan kenyang.

Brahim Kundoq terpaksa menyelamatkan burger beliau dengan berlari ke hulu dan ke hilir. Sampailah akhirnya dia terperangkap dengan kepungan kami. Brahim Kundoq dah tak boleh lari lagi. Kami semua mendekati Brahim Kundoq....

Tiba-tiba Brahim Kundoq dapat satu idea yang berguna...

'"Tuihh..tuihh..tuihhh!!!" Brahim Kundoq mula meludah air liurnya pada burger tadi.

"Iyekkk... !!! Pengotoq..!!" marah salah seorang daripada kami.

"Tak guna... H***m jadah..." dan berbagai ayat maki lagi kami hamburkan pada Brahim Kundoq.

Bila kami semua bersurai, Brahim Kundoq pun menghabiskan burgernya dengan senang hati.

*Brahim Kundoq tak masuk universiti macam kawan-kawan lain, tapi beliau sekarang seorang usahawan burger yang kaya-raya di Kulim, Kedah. Lebih kaya daripada yang lepasan universiti.



1 malam tanpa bekalan elektrik.

Allayarham Abdul Hakam, kacak orangnya, tinggi dan berkulit cerah. Anak Tuan Kadhi Besar Pulau Pinang ketika itu ( Sekarang Mufti Perak). Kami kalau nak balas dendam kat dia, kami akan tunggu waktu dia berada di sekolah, buka di asrama. Kelemahan beliau ialah sangat malu jika ada perempuan. Di asrama, beliau nakal sama macam yang lain-lain. Tapi kalau depan perempuan, pijak semut pun tak mati.

Pengaruh filem Star Wars dan American Ninja agak kuat bagi pelajar-pelajar asrama selain filem Rambo. pada suatu petang, Hakam bermain pedang ala-ala ninja dengan Mat Chop Semut ( Orang Kota Sarang Semut, Kedah). Pung..pang..pung..pang... bunyi besi katil yang sudah tercabut menjadi pedang mereka. Aku tengok boleh tahan juga skil budak berdua ni. Aksi pedang makin lama makin rancak dan pantas. Sampai aku terfikir sendiri "Bila masa budak berdua ni belajar main pedang macam ni punya pantas?".

Habis penat bermain pedang, Hakam nampak ada tangkal baldi diperbuat daripada besi di koridor bilik.

"Wah... ini boleh buat boomerang..hahaha" kata Hakam sambil ketawa sendiri.

"Hang try la baling tengok dia patah balik kat hang dak" sampuk aku memberi cadangan.

"Ok.ok.. hang mai tengok aku nak baling boleh pi jauh mana" kata Hakam sambil bersedia untuk menghayunkan 'boomerang'nya itu.

"Ok.. hang tengok ni.."

Zuppp... boomerang Hakam dihayun ke tengah padang asrama. Tiba-tiba.... Zzappp..!!! Prakkk.!! bunyi letupan dan percikan api keluar daripada kabel elektrik di tepi padang.

Kami semua terkejut kerana agak kuat bunyi letupan itu. Kelihatan ada asap keluar daripada tempat letupan tadi. Dan.... satu asrama 'blackout'.

Hari sudah senja... asrama masih tiada bekalan elektrik. Bukan sahaja asrama kami sahaja yang tiada elektrik, rupa-rupanya seluruh kawasan sekolah.

Kali ini Hakam pula jadi bahan maki hamun budak-budak satu asrama. Malam itu Hakam 'kudung kepala' kena maki dengan seluruh warga asrama. Tidur dalam stress....dibantu cahaya lilin.




Subuh 12 pagi.

Orang yang selalu bangun awal dan kejutkan kawan-kawan lain setiap pagi ialah Tahiaq (Dr Tahir Ahmad). yang lain-lain tu boleh dikatakan 'baloq liat' semuanya. Kalau tak dikejutkan oleh Tahiaq, alamatnya kami tak turun ke surau untuk subuh berjemaah. Tapi setiap pagi 'diganggu' oleh Tahiaq kadang-kadang menyakitkan hati kami yang malas bangun awal ni. Suatu malam, aku, Hakam dan beberapa orang lain berpakat nak kenakan Tahiaq yang rajin kejutkan kami bangun subuh.

Jam sudah pukul 12 pagi. Tahiaq dah nyenyak tidur. Aku dan Hakam dah bersedia untuk melaksanakan rancangan jahat kami. Dan beberapa kawan-kawan yang lain juga telah bersedia.


"Hakam... hang turun pi kat tangga. hang azan subuh. jangan lupa sebut 'As solatu khairun minan naum'!" aku memberi arahan pada Hakam.

"Ok..." jawab Hakam ringkas.

Hakam pun turun ke tangga supaya suara azan kedengaran sayup-sayup dari surau bawah asrama.


Kawan-kawan yang lain juga telah bersedia untuk pura-pura bangun bila aku kejutkan mereka nanti. Setelah semua telah bersedia, azan pun dilaungkan oleh Hakam.

"Allahu akbar Allahu akbar....."

"As solatu khairun minan naummmmmmmmmm..."


"Wei Tahiaq, subuh dah wei. bangun..bangun" aku kejutkan Tahiaq

Tahiaq jenis senang bangun.

"Hah..! dah azan ka?" suara Tahiaq agak cemas kerana dia tak biasa bangun lewat mcm ni.

"Ha laa.. azan dah tu"

"Alamak, dah lewat ni....." rungutnya. Tahiaq bingkas bangun dan memakai tuala dan capai baldi kecil yang ada berus dan ubat gigi serta sabun mandi.

Sementara Tahiaq sedang bersiap untuk pergi mandi, aku menjalankan tugas 'mengejutkan' beberapa kawan yang sudah bersedia untuk melakonkan watak orang bangun tidur.

"Bangun..bangun... dah subuh..dah subuh" aku pun mengejutkan mereka. Masing-masing pura-pura bangun, mengeliat, menguap dan sebagainya. Tahiaq dah sedikit kelam-kabut.

Hakam di tangga masih melaunkan azan.

Sebaik sahaja Tahiaq capai seliparnya dan keluar dari bilik menuju ke tandas. Kawan-kawan semua cepat-cepat masuk semula dalam selimut. Aku bagi isyarat kat Hakam supaya cepat-cepat masuk semula ke bilik. Dengan pantas Hakam lari sambil tertunduk-tunduk menyusup masuk ke bilik dan masuk dalam selimut.

Aku perlahan-lahan bergerak ke tandas untuk memerhati apa yang berlaku pada Tahiaq. Ternyata Tahiaq sedang menggosok gigi di sinki. Kemudian dia masuk bilik mandi dan buka paip mandi.


Aku dah tak mampu kawal rasa nak tergelak aku. Tapi aku cuba tahan supaya Tahiaq tak dengar bunyi aku ketawa di luar tandas. Tiba-tiba aku ternampak ada seseorang keluar dari bilik dan menuju ke tandas. Barangkali nak buang air kecil.

"Habis la rancangan aku" fikirku. Aku bangun dan berjalan menuju ke bilik dan berselisih dengannya.  Wajahnya aku tak jelas sebab lampu koridor masih belum dinyalakan dan suasana masih gelap.

Sebaik orang tadi masuk ke tandas, aku berpatah balik untuk mendengar apa yang bakal terjadi. Dari luar aku dapat mendengar perbualan mereka dengan jelas.

"Wei Tahiaq... hang mandi wajib ka?"

"Dak aih.. nak sembahyang subuh la ni" Jawab Tahiaq selamba sambil menikmati mandiannya.

"Subuh apa kebendanya ni?" orang tadi kehairanan.

"Subuh la.. dah azan tak sat " jawab Tahiaq lagi masih tak perasan apa yang sedang berlaku.

Aku dah mula risau... " Pi dah kali ni...hancur plan aku" getusku dalam hati.

"Hang tau dak la ni pukoi berapa?" sambung hamba Allah tadi.

"Awat?" Tahiaq dah mula tak sedap hati.

"Baru pukoi 12 pagi.."

"Haa...!!!" suara Tahiaq dah meninggi.

Aku pun tak buang masa terus angkat kaki menghilangkan diri dan meluru naik semula ke katil aku. Dari jauh aku dapat dengar sumpah-seranah Tahiaq kerana dikenakan sampai ke tahap itu.

Tahiaq meluru ke bilik sambil berleter....

"H***m jadah betoi hangpa... bla..bla..." marah sungguh Tahiaq kali ni.

Aku dan yang lain-lain diam membisu. Gelak pun tak berani.

Tahiaq (Dr Tahir Ahmad) sekarang adalah seorang doktor perubatan. Beliau buka klinik sendiri di Kulim dan Butterworth.




Siapa Kencing Di Koridor?

Suatu pagi kami semua terhidu bau hancing di koridor betul-betul di hadapan pintu masuk bilik kami. Baunya sangat menyengat hidung. Pada mulanya kami sangka kucing punya kerja. Tapi bila kami amati betul-betul...

"Tak kan la kucing kencing macam ni punya banyak" kataku pada kawan-kawan.

"Ni kencing manusia ni" kata Hakam yang kebetulan katilnya paling hampir dengan pintu bilik.

Tapi oleh kerana mengejar solat subuh berjemaah di surau, kami abaikan dulu soal 'siapa punya kencing' itu.

Selesai solat subuh berjemaah, kami naik semula ke bilik.

"Hoi.. sapa punya kerja ni?" aku sengaja nak panaskan balik isu 'siapa kencing' tadi. Pedih hidung aku dengan kehancingannya.

Ya lah, siapa yang nak mengaku. masing-masing datang lihat dari dekat, maki sekali lalu dan berlalu pergi begitu sahaja tanpa ada penyelesaian. Aku dan Hakam paling panas hati bab ini.Tapi tiada apa yang boleh kami lakukan. Aku paling marah sebab tempat yang kena kencing tu ialah tempat kegemaranku melepak sambil menghirup udara segar samada pagi, petang atau malam.

Hari pertama kes kecing tadi berlalu begitu sahaja.


Hari yang berikutnya, kes kencing di koridor berulang lagi. makin sakit hati aku selagi tak dapat cari siapa punya angkara.

" Kurang ajaq!!!!... sapa kencing dalam gelas aku ni" tiba-tiba Laney naik angin. Mana tidak marahnya, beliau sudah siap pakai uniform sekolah dan bawa gelas itu turun untuk sarapan pagi, ketika hendak mengisi gelasnya dengan air milo, tiba-tiba ada warna kuning dan berbau hancing.

Hari itu di sekolah, isu gelas Laney kena kencing itu jadi topik perbualan yang hangat di kalangan pelajar dan juga guru-guru. Namun si pelakunya masih menjadi tanda-tanya.

"Wah.. ini dah melampau!!!" aku makin sakit hati. Kesian Hakam, terpaksa menghidu bau busuk itu setiap malam sampai ke pagi.

"Hakam, malam ni hang jangan tidoq !!!  Hang tunggu kot-kot kita dapat tangkap si pengencing tu" bisik aku pada Hakam.

"Baik"



Malam itu Hakam pura-pura tidur. Aku pun pura-pura tidur. Tapi akhirnya aku terlelap juga.

Pada keesokan paginya selepas solat subuh...

"Wei Reejal, aku tau dah sapa kencing!"

'Hah..ya ka? Sapa?".  Aku makin berminat nak tahu supaya aku boleh 'kerjakan' si pembuatnya.

"Pak Haji" bisik Hakam ringkas.

"Hang nampak sendiri ka?" aku sekadar mahukan kepastian.

"Ha..la. Pukoi 3 pagi macam tu... aku dengaq bunyi ayaq....aku pun bukak la mata. Memang pak Haji dok pancut kat tembok koridor tu " bisik Hakam.

Kami panggil dia Haji sebab dia pernah pergi naik haji dengan datuknya.

"Ok..ok.. hang tunggu sat haji noo" aku dah bersedia untuk bertindak. Sudah lama aku tunggu saat ini.

Aku ambil pen marker dan mula mengarang lirik lagu pada pintu almari Pak Haji. Aku masih ingat sebahagian liriknya sampai sekarang walaupun tak semuanya. Lirik ini perlu dinyayikan dengan lagu Allahyarham Sudirman haji Arsyad yang bertajuk 'Ding ga ding gale'.

Begini yang aku tulis...

'Ding ga ding gale pak aji kencing dalam kole (gelas)
bangun pagi-pagi dia kencing dalam kole

Tengok kiri tengok kanan semua member dah belayar (tidur)
Tangan capai kole Laney (Mazlan Mansor), terus kencing dalam kole.....'


Selebihnya aku dah lupa apa yang aku tulis. Tapi yang aku tak sangka, lirik yang aku tulis itu menjadi siulan warga SMKA Al-Irshad kira-kira satu atau dua minggu juga. Di mana sahaja aku pergi, aku dengar kawan-kawan menyanyikan lagu itu samada di sekolah mahupun di asrama. Entah banyak mana dosa aku kerana cipta lirik tu.

Pak Haji tak bercakap dengan kami kira-kira 2 minggu. Di mana sahaja dia pergi, pasti disindir oleh kawan-kawan.

Bila aku siasat, baru aku tahu rupanya bukan beliau sengaja nak buat onar kepada kawan-kawan, tetapi beliau takut untuk ke tandas seorang diri pada waktu malam. Takut hantu!.

Begitulah, bila dikenang balik kenakalan kawan-kawan, membuatkan aku ketawa seorang diri. Tapi pak Haji seorang yang berjaya dalam bisnesnya pada hari ini. Beliau mempunyai kedai sendiri dan menyediakan khidmat barangan yang berkualiti bagi pelaksanaan ibadah haji dan umrah.




Rusuhan dan perintah berkurung.


Sudah dua minggu kami asyik makan nasi berlaukkan telur rebus. Pagi telur, tengahari telur dan malam pun telur. Agaknya ada yang dah mimpi pun mimpi telur. Entah apa yang terjadi pada pengusaha dewan makan asrama kami. Boleh jadi mereka tak dibayar secukupnya. Tapi bagi kami penghuni asrama, kalau sampai 2 minggu tentu cukup menyeksakan dan boleh 'mendatangkan marah'.

"Makan apa wei malam ni?" aku bertanya mengharapkan jawapan selain 'teloq' daripada Kapten.

"Teloq" jawab Kapten.

"Hmm...teloq..teloq ..teloq.. lama-lama kita pun bodo macam teloq"

"Teloq bodo ka?" Kapten buat-buat tak faham bahasa yang sebenarnya tak ada makna.

"Bodo la pasai dia tak dak otak"

"Hahaha... rileks..rileks... kita kena banyak bersabar dan syukur sebab masih ada teloq!"

"Aii...lain macam bunyi"

"Hahaha..." Kapten hanya ketawa dan membaringkan badanya di katil sementara jam 3 petang untuk pergi kelas persediaan yang lebih popular dengan 'prep'..


Petang itu, kami berbincang-bincang tentang nasib kami dah 2 minggu asyik makan telur ayam. Tak ada ayam apatah lagi lauk ikan. Nampaknya selepas solat maghrib nanti, kami akan dihidangkan dengan menu telur ayam juga. Tekak kami seolah tak boleh terima lagi hidup begini.

Tiba-tiba aku terpandang abang Samin Ongki dan abang Nawi  dari bilik Uthman masuk ke bilik kami. Mereka berbincang dengan agak serius dengan abang-abang senior bilik kami iaitu bilik Ali.


"Ok semua... mai sini sat kita nak bagitau benda penting" tiba-tiba abang Paq Petola panggil kami semua berkumpul. Abang Samin Ongki dan abang Nawi dah bersedia untuk berucap sesuatu. Mereka berdua adalah pelajar tingkatan 6 atas.

Kami semua berkumpul di suatu sudut di bilik kami itu.

"Ok... seperti yang hangpa semua tau, kita dah 2 minggu asyik makan teloq ayam" Abang Nawi memulakan bicara.

"Makan malam untuk petang ini kita akan buat sesuatu supaya masalah kita ini diambil berat oleh pihak pentadbiran" sambung abang Nawi lagi.

"Macamana semua? sanggup tak sebulat hati dan jaga rahsia? Kalau warden atau siapa sahaja yang tanya siapa yang rancang, semua kena jawab tak tahu. Boleh ka?" celah abang Samin Ongki dengan pelat Sabahnya.

"Boleh..boleh.." sahut kami semua. Namun di wajah kami ada sedikit rasa bimbang jika tertangkap dan dipaksa mengaku.

"Ok...malam ni hangpa kena makan dulu sikit tau. Nanti hangpa lapar pulak"  tambah abang Samin Ongki.

Kami semua mengangguk tanda faham.

"Hangpa makan dan tengok kat aku" tiba-tiba abang Md Radi mencelah.

"Bila aku tiarap tray, hangpa semua kena pakat tiarap serentak!!!" abang Md Radi memberi arahan.

"Faham semua?" ulang abang Md Radi mengambil tugas ketua rusuhan bagi bilik kami.

"Ingat, makan dulu sikit" abang Samin Ongki mengulang sekali lagi tanda keperihatinan beliau sebagai ketua asrama kepada anak-anak buahnya.

Setelah amanat demi amanat diulang-ulang, kami pun bersurai. Abang Samin Ongki dan abang Nawi bergerak ke bilik-bilik lain pula untuk menyampaikan rancangan rusuhan malam itu.

Sebenarnya yang merancang semua ini bukanlah abang Nawi atau abang Samin Ongki, sebaliknya ialah abang-abang tingkatan 4 khususnya abang Amini, abang Harith (Allahyarham) dan lain-lain.  Tetapi abang Nawi dan abang Samin Ongki bersetuju agar protes yang keras ini dilaksanakan demi membela nasib anak-anak buah mereka yang sudah 2 minggu asyik makan nasi berlaukkan telur ayam.


Makan malam pada petang itu agak berlainan. Antara marah dan bimbang mengganggu fikiran setiap penghuni asrama. Sekejap lagi ini kami akan buat satu tindakan yang membahayakan diri kami sendiri jika tertangkap. Samada 'public canning' atau dibuang asrama atau sekolah.


"Allahumma baariklana fiima razaqtana......." salah seorang daripada kami bangun seperti biasa untuk membaca doa makan dan diaminkan oleh yang lain.

Jari-jari kami mula menjemput juadah makan malam itu untuk mengalas perut sehingga pagi esok.

Aku memerhati abang Md Radi. Dalam hati aku berharap abang Md Radi jangan tunggang lagi tray makanan. Aku belum kenyang...

Mata abang Md Radi liar memerhati keliling sebagai langkah berhati-hati agar rancangan dilaksanakan pada waktu dan ketika yang paling sesuai dan selamat. Kelihatan pekerja-pekerja dewan makan sibuk menjalankan urusan masing-masing seperti biasa.

Prangggg....!!!! bunyi deretan tray memekakkan telinga kami. Aku pun melompat dari kerusi untu mengelakkan kuah makan terpercik ke pakaian aku. Aku cepat-cepat angkat tray aku dan menghumban makanan aku ke atas meja makan.

"Nahhh...!!! ambik hangpa" kedengaran kemarahan dihamburkan kepada pekerja-pekerja kantin. Aku nampak ada beberapa pelajar menggenggam telur-telur rebus yang berjatuhan dan membaling ke arah pekerja-pekerja kantin. Bertempiaran pekerja-pekerja lari menyelamatkan diri mereka.

Tak cukup dengan itu, ada yang bertindak keterlaluan membaling tray makanan ke dapur dewan makan. Lantai dewan makan bersepah dengan makanan dan kerusi dewan makan yang tunggang langgang berjatuhan. Suasana hiruk pikuk membingitkan telinga.

Di sudut meja makan pelajar perempuan, kelihatan pelajar-pelajar perempuan berada dalam ketakutan dan terkejut besar dengan apa yang sedang berlaku. Ada yang berlari keluar dari dewan makan kerana bimbang tray makanan kami melayang ke arah mereka.

Kami juga berlari keluar dari dewan makan beramai-ramai dan lari naik ke atas asrama. Di dalam bilik masing-masing, kami bertukar-tukar cerita tentang apa yang kami lakukan dalam dewan makan tadi. Masing-masing merasa lucu dengan apa yang terjadi tadi tanpa memikirkan nasib yang bakal menimpa kami nanti.

Azan maghrib dilaungkan, semua penghuni asrama turun untuk menunaikan kewajipan. Tetapi dalam hati kami diganggu keresahan tentang apa yang akan berlaku lagi malam ini. Tentunya guru warden malam itu cikgu Md Radhi ( Juga telah meninggal dunia) telah menghubungi tuan pengetua.

Seperti biasa sesudah solat maghrib, diadakan sesi tazkirah. Tapi kebanyakan kami sudah tidak dapat fokus lagi kepada isi tazkirah yang disampaikan oleh rakan yang ditugaskan malam itu. Otak kami 'semak' dan jiwa kami dalam keresahan menanti dan meneka nasib yang bakal menimpa kami selepas ini.

Setelah solat Isyak, kami semua naik semula ke bilik masing-masing dan bersiap-siap untuk ke kelas persediaan seperti biasa.



"Assalamualaikum....Perhatian kepada semua penghuni asrama lelaki. Anda seemua  dikehendaki turun sekarang dan berkumpul di hadapan dewan makan, dengan segera". Nada arahan yang tegas itu membuatkan kami semakin cemas.

Kami semua simpan semula beg yang berisi buku di dalam almari.

"Mampoih dah kita kali ni"

"Mati la kita..."

Itu antara ayat-ayat yang disebut oleh kami sewaktu mendengar pengumuman tadi.

Setibanya kami di tempat berkumpul, kelihatan Ustaz Haji Salam selaku pengetua telah terpacak di hadapan barisan-barisan kami. Kami beratur mengikut nama bilik masing-masing.

"Saya amat berdukacita dan kesal dengan apa yang telah kamu lakukan pada petang tadi" kata tuan pengetua memulakan bicara. Guru-guru warden turut berdiri di belakang beliau dengan muka yang sangat kecewa dengan tindakan kami semua.

"Baik sekarang saya nak kamu mengaku, siapa yang rancang semua ni?" suara tuan pengetua semakin tinggi.

Kami semua tertunduk takut. Dalam hati masing-masing mengharapkan jangan ada sesiapa yang gatal mulut pecahkan rahsia yang telah disepakati.

"Baik mengaku cepat..!!! Siapa yang rancang semua ni?" suara pengetua makin tinggi. Sesekali dicelah oleh suara warden bertugas dengan pertanyaan yang sama.

Kami semua tetap mendiamkan diri. Setelah leteran demi leteran, ugutan demi ugutan  dihamburkan kepada kami akhirnya tuan pengetua dan para warden mulai mengalah. Kami masih bersatu hati untuk tidak bersuara yang akan mengakibatkan ada rakan kami yang menjadi mangsa nanti. Kami betul-betul nekad bersatu hati.

"Baiklah... kalau tak ada siapa yang mengaku, tak apa, kami akan siasat. Malam ini saya nak semua sekali masuk balik ke dewan makan dan bersihkan semula"

Kami bergerak masuk ke dalam dewan makan dan mula mangaut sisa-sisa makanan yang kami tuang di atas meja dan lantai. Pekerja-pekerja dewan makan kelihatan tersenyum sinis melihat kami terpaksa membersihkan semula dewan makan.

"Padan muka hangpa.." sayup kedengaran sindiran dari pekerja-pekerja dewan makan. Ada yang mentertawakan kami sebagai tanda puas hati dengan balasan yang kami terpaksa terima.Senyumana mereka makin menyakitkan hati kami.

Lebih kurang 30 minit, kami berkumpul semula dan diberi arahan perintah berkurung. Tiada siapa dibenarkan keluar daripada bilik masing-masing selepas pukul 11 malam.

Beberapa guru warden meronda sepanjang malam. Malam itu ada yang 'makan penampar jepun' semata-mata tak tahan nak terkencing. Aku rasa amat tidak adil namun apakan daya malam itu seperti baharu 'selesai perang'.

***

Pagi keesokan harinya, sarapan disedia dalam kuantiti yang sangat minima. Ramai yang mengadu terlalu sedikit. Keadaan ini menimbulkan kemarahan abang-abang senior kami terutama abang Amini. Beliau meluru masuk ke ruang pekerja dewan makan dan mengambil mentega, telur dan roti dan menghulurkan kepada adik-adik junior. Tindakan abang Amini menimbulkan ketegangan dan pertengkaran beliau dengan para pekerja. Akibatnya daripada itu wajah beliau dicam oleh pekerja dan dilaporkan kepada warden sebagai salah seorang perancang rusuhan semalam. Rentetan daripada itu beliau dipanggil untuk soal siasat dan dipaksa mengaku dan disuruh mendedahkan semua nama-nama yang terlibat dalam rancangan rusuhan itu. Sesuatu yang amat kami terharu dan sedih ialah abang Amini sangat kuat menyimpan rahsia dan tidak mendedahkan nama-nama rakan beliau yang lain. Ya, kami pun tahu ramai lagi yang terlibat, tetapi semua ini dilakukan bagi membela hak kami.

Beberapa hari selepas itu, dalam perhimpunan sekolah,

"Dengan ini kamu Mohd Amini didapati bersalah kerana merancang suatu rusuhan di dewan makan pada tarikh ( aku dah tak ingat tarikh kejadian). Dengan ini kamu dijatuhkan hukuman sebat 2 rotan dan gantung sekolah selama 2 minggu berkuatkuasa serta merta"

Kesalahan dan hukuman dibacakan oleh guru warden bertugas.

Zappp...!!! satu sebatan singgah di punggung abang Amini. Ramai pelajar menahan sedih dan ada yang menitiskan airmata dalam diam. Kami tahu, ini pengorbanan abang Amini untuk kami semua.

Zapp...!!!  sebatan yang kedua. Kelihatan abang Amini tenang walaupun tubuhnya bergegar menahan kesakitan.


 Aku memerhati wajah guru warden dengan sedikit rasa tidak puas hati kerana sebatan yang dilakukan amat keras terhadap insan yang sanggup berkorban untuk kami semua.


Peristiwa ini amat menyedihkan aku sehingga ketika tangan ini menaip, masih terasa sebak di dada. Terima kasih abang Amini kerana pengorbanan itu.  Abang Amini sekarang adalah seorang guru agama di sebuah sekolah kerajaan di negeri Perak.







Break Dance and  Shandy

Tahun 1986, aku sudah pun di tingkatan tiga. Oleh kerana kami adalah kelas peperiksaan, kami ditempatkan di bilik yang khusus. Tiada lagi junior mahupun senior. Rupanya apabila semuanya sebaya, kenakalan kami makin menjadi-jadi.

Hujung minggu yang kami tak dibenarkan pulang ke kampung kadang-kadang menjadi pesta melepas segala tekanan hidup.

"Hakam, hang hampaq tilam atas lantai, bagi aku stunt atas hang" arah Mat Chot yang terkenal dengan kemahiran terjun dari tingkat atas katil dua tingkat.

Aku pun tak tak boleh bayang bayangkan ketahanan manusia dalam usia belasan tahun begini, memang lasak. Bayangkan Mat Chot 'terbang' dari tingkat atas katil dua tingkat itu dan menghempas dadanya atas badan si Hakam ni. Mereka berdua bergilir2 meniru aksi ahli gusti dalam television. Aku hanya mampu ketawa melihat aksi gila-gila mereka. Mungkin sebab tak cukup berani atau aku kurang berminat dengan gusti. Aku lebih berminat dengan seni silat ketika itu.

Selain aksi gusti, kawan-kawan aku juga ada yang mahir meniru aksi ninja bermain pedang. Habis besi-besi katil dan kerusi yang patah akan berfungsi sebagai 'senjata' ninja-ninja tiruan ini. Seorang lagi ninja yang tak kurang hebat ialah Mat Chop Semut. Boleh tahan juga 'pedang ninja' bila bertarung dengan mat chot atau Hakam. Cuma mat Chop tak boleh lawan gusti dengan dua orang ni sebab tubuh Mat Chop cuma senipis papan sekeping. kalau kena hempap dari ketinggian katil dua tingkat tu, jenuh kami nak kutip tulang-tulang Mat Chop yang bersepai.

Satu lagi aktiviti yang menjadi kegemaran kami di dorm ialah berlawan tunjuk hebat meniru tarian Break Dance yang sedang 'hot' ketika itu. Pacak kepala atas lantai dan pusing macam gasing adalah skill yang paling dikagumi. Selain daripada itu gerakan seprti 'moon walk', 'electric move' dan merangkak 'scorpion' juga menjadi kebanggan dikalangan kami. Setiap kali kami terdengar muzik Break Dance, kami akan beramai-ramai terjun dari katil dan menari mengikut gaya dan kemampuan masing-masing.


Nak jadi cerita, hujung minggu, selepas semua balik daripada 'outing' hujung minggu, pada tengah malamnya setelah lampu semua dipadamkan.

"Oiii haji, hang minum apa?" suara Lane memecah kesunyian.

"Niii.. " jawab haji ringkas.

"Uihh.. boleh minum ka ayaq ni?"

"Boleh jaa.. aku beli kat koperasi ni" jawab haji dengan 'confident'.

'Koperasi ada jual ayaq ni ka?" lane mula ragu-ragu. Tin Shandy yang dipegang oleh haji diambilnya dan dibelek-belek dalam kesamaran cahaya malam itu.

'Ayaq apa oiii?" tiba-tiba ada yang menyampuk.

"Shandy !!!" jawab Lane.

Apa lagi bergegar satu bilik sebab kami pakat terjun katil nak tengok air dalam tin minuman yang diminum oleh pak haji.

'Woii.. mai sikit..mai sikit aku nak rasa !!!!" kami berebut-rebut nak rasa air yang pak haji 'beli' kat koperasi sekolah tu. Air hanya satu tin, yang nak minumnya berbelas orang. Riuh-rendah jadinya dalam kegelapan malam. Nasib aku baik, Tuhan sayang kat aku, tiba giliran aku, air dah habis.

'Hmm.. tak dak rezeki .." rungutku sambil membaringkan semula badan di atas katil.


belum sempat aku terlelap, pintu bilik kami ditampar-tampar dengan kuat oleh abang Paq Petola. dengan nada yang kuat dia mengarahkan kami semua bagun dan turun ke bilik abang-abang senior di tingkat bawah.

"Bangun..bangun !!!!! semua sekali turun bilik aku kat bawah" 

Kami semua terpinga-pinga dan tertanya-tanya.

"Awat wei..?' tanyaku pada Himy kapten.

'Tak tau la.." 

Kami ikut sahaja arahan. Kami dipaksa berbondong-bondong turun ke bilik senior ibarat berbaris nak pergi ke padang Mahsyar.  Kami kemudianya berdiri dalam satu barisan untuk disoal siasat atas kesalahan yang kami pun belum tahu lagi.


'Apa yang hangpa bising-bising sangat tadi?" salah seorang abang senior memulakan soal siasat.

Kami semua tertunduk diam. 

"Ooo.. hangpa tak mau jawab no... sebelum aku mengamuk, baik hangpa cakap" makin garang abg Paq Petola. Mentang-mentang dia ada geng. Dia bukan gagah sangat pun, kurus, hitam dan sedikit bongkok. kaki pun pengkaq. Kalau aku 'hayun' sedas, mau melayang Paq Petola ni. Tapi kami tak berani sebab yang lain-lain tu gagah-gagah belaka. Mat Di Gemok dan lain-lain tu besar-besar badan mereka.  

Panggg!!!..pangggg!!!!!!..pang!!!.. seorang demi seorang makan pelempang abang-abang senior.

'Hangpa habaq cepat.. apa yang bising-bising sangat tadi???" suara algojo tadi makin tinggi. Tapi aku dah tak ingat siapa orangnya tu.

"Pak haji..." tiba-tiba ada suara berbunyi terketar-ketar. kalau tak silap aku suara Man Gemuk. 

"Awat dengan pak haji?" tanya abang senior sambil membeliakkan mata pada haji. Haji tertunduk diam.

" Dia beli Shandy kat koop, kami berebut la nak 'try'" 

'Hang minum dak?"

'Saya minum satu sudu ja.."

Pangggggg...!!!! satu lagi penampar naik ke pipi Man Gemuk. Kami semua terdiam dalam ketakutan. Entah siapa lagi akan rasa penampar bonus malam ni. Mujurlah 'niat' aku tadi tak kesampaian sebab dah habis.

'Haji.. hang naik pi ambik tin tu la ni jugak.. piiii..!!!!" jerkah abang Paq Petola kepada haji. 

Haji berlari naik ke atas dan turun semula dengan tin Shandy 'Koop'nya tu.

'Astaghfirullah al azhimmmmm... !!!! Hangpa tau dak ni ayaq apa? arak ni..!!!" abang Paq Petola mengeluh panjang kerana terlalu kesal dengan keterlanjuran kami.

"Dia kata kat kami dia beli kat koop.." sampuk Man Gemok.

"Haji..!!!! betoi ka hang beli kat koop?" sergah salah seorang abang senior.

" Sss..ssss..ssayaa.. be.be..beli kk.kk.kat l.l..l.luaq ..tt..tt.tadi.." jawab haji dengan tergagap-gagap. Memang dia gagap pun sejak lahir. Tapi tak padan dengan gagap, kata orang utara 'nakai nak mampus'.

sesudah pengakuan semua dibuat, bermulalah acara 'makan penampar' berjemaah. 


Aku ingat dah selesai. tiba-tiba...

"Lagi satu....   siapa bawa radio kat bilik?" sergah salah seorang senior.

semua tertunduk diam dan takut. Berdenyut pipi masing-masing pun masih segar terasa.

"Aku tanya siapa yang bawa radio kat bilik !!!!!" makin tinggi suaranya abang senior.

"Pak haji.." tiba-tiba ada juga suara menjawab. Maklumlah hati dah panas dengan pak haji. Kerana dia kami semua makan penampar.

"Haah.. hang lagi?" 

Haji tertunduk diam..

"Hang dok buka radio masa mana?"

"Huu..huu..jung ..mmm..minggu ja" jawab pak haji.

"Tapi dddeep..depaa ju..ju..ju..jugak ssssuruh sss..ssaya bb.buka ..rrr..radio tuu" sambung haji lagi.

"Depa buat apa?" abang senior cuba cari satu lagi salah kami.

"D..dd..depa..dd.dok..mmm..bb..buat break dance!!!"

"Haahh..?? break dance pun hangpa dok buat jugak?!!!" jerkah abang senior. 

Masa itu tarian 'breake dance' dianggap 'dosa besar', rosak akhlak, keruntuhan moral, tanda-tanda kiamat, dan paling aku tak boleh terima ialah dianggap boleh merosakkan aqidah umat Islam. Entah lah.. ekstrim sangat tuduhan itu bagi aku. Kalau ya pun nak lariskan ceramah, tak payah lah 'sembang bikin bimbang' sampai ke tahap ini. Entah apa kaitan break dance dengan aqidah aku?. Alhamdulillah aku masih Islam sampai kini dan aku berdoa Allah kekalkan aku dalam Islam sampai akhir hayat aku.


"Aleeeh... haji pun buat jugak!" kata salah seorang kami yang tak puas hati dengan haji. Alang-alang kena, biar sampai satu bilik.

"Haji buat apa?"

"Haji dengan mat Chot dok pacak pala " tambah seorang lagi mencari keadilan agar semua kena hukum.

Kami dibariskan semula mengikut kesalahan break dance pula... pangg..pang..seorang demi seorang dilempang atas aksi breake dance yang dibuat. Sampai giliran aku..

'Hang? hang pacak pala dak?" 

"Saya cuma buat macam ni ja.." jawabku sambil mendemonstrasikan gaya 'terkena kejutan elektrik' dan 'tangan sotong'...

"Pangggg...!!!!"

TAMAT.





Gerai Nurul Iman Simpang Tiga Keling.

'Kebuluran' adalah fenomena biasa bagi pelajar asrama. Makan lah sebanyak mana pun, selagi tak boleh makan kat luar sekolah umpama tak makan apa-apa. Lebih-lebih lagi apabila makanan kat dewan makan asrama dianggap tidak sedap. kebuluran akan datang lagi.

Dari atas bangunan asrama kami nampak jelas deretan kedai-kedai makan di simpang tiga berdekatan sekolah. Orang dulu-dulu namakan simpang itu sebagai 'Simpang Tiga Keling' kerana kat situ ada kawasan perumahan orang-orang India yang bekerja di ladang. Dahulu tak ada lampu isyarat kat situ. Apatah lagi kedai-kedai besar serta kawasan perumahan macam sekarang. Keliling kawasan sekolah ialah kebun getah yang luas saujana mata memandang. Sungguh menyejukkan mata walaupun banyak nyamuk. Setelah terbinanya sekolah kami kat situ, barulah gerai-gerai kecil dibina. Setiap malam, kami terpanggil dengan kerlipan lampu-lampu gerai di simpang itu. Sesekali kami dapat lihat jelas cahaya hantu tanglung bermain-main di atas pucuk-pucuk dahan pokok getah pada malam hari. Entah lah, tak takut pun. Mungkin dah biasa. 


Lambaian gerai Nurul Iman di simpang tiga itu memang kadang-kadang tak boleh tahan. Tetapi nak sampai ke gerai itu memerlukan skill dan stamina yang amat besar. Skill yang dimaksudkan ialah taktik menyusup keluar dan masuk yang tak dapat dihidu oleh pak guard, warden asrama dan tuan pengetua sendiri yang turut tinggal dalam kawasan sekolah. Manakala stamina pula ialah kemampuan merangkak atau berlari sambil membongkok merentasi sebuah tanah lapang berdekatan asrama serta dua buah padang bola. Seterusnya ialah skill memanjang pagar tinggi sekolah dan stamina berlari dalam longkang besar yang jauhnya juga menyamai dua buah padang bola. Itu belum lagi risiko boleh jadi ada ular berbisa dalam longkang tersebut. Kami bukan nampak apa sangat dalam longkang tu kerana terlalu gelap. Aci redah ja. Maklumlah kami ni pelajar agama, jadi 'tawakkal' kami amat tinggi.

Kod rahsia operasi menyusup keluar dan masuk kami ialah istilah ' Rambo' sempena sebuah filem perang yang amat terkenal waktu itu. Sesiapa yang berjaya melaksanakan operasi dengan jaya tanpa tertangkap oleh pak guard, warden atau pengetua akan diiktiraf sebagai 'Rambo'.  kami beroperasi dalam unit-unit kecil untuk mengelak dikesan oleh pihak-pihak ini. Tak kurang juga kes unit Rambo yang kantoi samada ditangkap oleh pihak sekolah dan yang lebih malang pula kena usung malam-malam ke balai oleh kereta peronda polis yang kerap membuat rondaan pada waktu malam. Panjang cerita lah akibatnya kalau kena pergi balai. Namun jiwa anak muda ini lain. Kejayaan meloloskan diri daripada kena tangkap adalah satu penghormatan dan kebanggaan yang diiktiraf oleh rakan-rakan. Biasalah remaja, bodoh-bodoh cerdik.

Misi operasi Rambo ini berbagai. Bermula daripada menyelamatkan perut sendiri dan kawan-kawan daripada ancaman kebuluran mee segera atau kelaparan burger, sampailah kepada membeli rokok, Kalau hujung minggu, kadang-kadang sebab nak pergi lepak kat KOMTAR, tengok wayang atau 'jual minyak urat'.


Satu hari aku, dan beberapa orang kawan termasuk seorang junior ( Mat Deris) dah berpakat untuk mendapatkan stok mee segera pada malamnya.

"Jadi ka rambo malam ni?" tanya Mat Deris untuk kepastian. Dia masih takut-takut kerana baru kali pertama nak mencuba. Mat Deris ini berbadan besar dan sedikit boroi. Wajahnya iras-iras pelawak watak Mat Deris dalam sitcom 'Pi Mai Pi Mai Tang Tu'. Nama sebenar dia aku pun dah lupa. 

'Jadi.." jawabku ringkas.

Setelah solat isyak berjemaah di surau dan semasa kelas prep malam. Aku dan unit aku dah bersedia untuk merambo. Bilangan kami kalau tak silap aku dalam 6 atau 7 orang. Jarak daripada bangunan sekolah ke simpang tiga jauh lebih dekat berbanding dengan asrama kami. Ilmu perkiraan keadaan perlu dipraktikkan. Kami menunggu saat terbaik untuk merambo iaitu setelah warden asrama siap membuat rondaan kelas prep malam itu. Setelah yakin warden sudah tak larat nak meronda. kami pun saling memberi isyarat antara satu sama lain sebagai tanda 'line clear'. Buku-buku kami serahkan kepada kawan-kawan lain yang akan pulang ke asrama. Songkok, kain pelikat dan baju melayu sudah kami letakkan dalam bilik basuh di asrama untuk kami salin pakaian setelah operasi selesai.

Kumpulan aku sudah bersedia dihujung bangunan sekolah dalam kegelapan malam. Kami perlu berlari melintasi pondok kawalan, rumah Penolong Kanan dan rumah Pengetua. Pergerakan perlu pantas dan senyap. Semua komunikasi kami hanya mengunakan isyarat tangan. Seorang demi seorang dilepaskan dalam kepekatan malam. Kami terpaksa 'escort' Mat Deris kerana dia masih 'blur' dengan laluan dan taktik yang kami gunakan. Setelah semua anggota kami sanpai di hujung padang, seorang demi seorang mula memanjat pagar tinggi. 

"Cepat la Mat Deris... !" aku terpaksa mengeluar sedikit suara kerana risau dengan pergerakan Mat Deris yang sangat lembab memanjat pagar besi. Maklumlah badan Mat Deris bersaiz XXXL. Bergoyang-goyang pagar besi itu dipanjat oleh Mat Deris. Nasib baik tak tumbang.

Mat Deris bertungkus lumus memanjat pagar besi. Kami semua dah risau kalau-kalau bunyi pagar didengari oleh pak guard atau pengetua. Akhirnya Mat Deris berjaya dan terjun ke dalam longkang besar bersama rakan-rakan lain yang sedia menanti di dalam longkang. Setelah itu, barulah giliran aku dan beberapa rakan lain memanjat pula. Alhamdulillah semua kami berjaya dan terjun ke dalam longkang di luarnya. Kami mendiamkan diri sebentar di dalam longkang besar untuk memastikan tiada apa-apa pergerakan yang mencurigakan dikesan oleh sesiapa. 

"Ok.. ushar sorang kat luar .." Le Coq mula bersuara memberi arahan. Dalam unit kami, dialah yang paling kerap merambo berbanding kami. Aku panggung sedikit kepala aku dan mataku betul-betul separas dengan tanah di atas dan memerhati sekeliling. 

"Line clear..!" kataku memberi maklumat kepada yang lain. 

"Ok... one by one..go!!!" arah Le Coq. 

Seorang demi seorang merangkak keluar daripada longkan dan berlari melintasi jalan raya dalam kegelapan. Kami menjauhkan diri daripada lampu jalan agar tidak kelihatan.

"Stop..stop.. ada kereta datang!!!" kataku apabila nampak cahaya kenderaan menuju ke arah kami.

Apabila semua sudah selamat melintas jalan, barulah aku dan Le Coq pula merangkak keluar dan berlari menyeberangi jalan. Kawan-kawan yang lain sudah siap menanti kami di belakang gerai kerana di situ agak gelap. 

"Ok..order..order..!!!" kami mula menempah makanan. Macam biasa, mee segera juga pilihan hati kami.

"Bang.. burger bungkus 10" Mat Deris pesan sampai 10 untuk pemesan-pemesan yang tak berani merambo malam itu.

Ada beberapa orang yang curi-curi melepas ketagihan merokok. Mujurlah aku kurang berselera dengan rokok. sampai sekarang aku tak merokok.


"Dah? semua dah selesai makan?" tanya Le Coq atau nama sebenarnya Luthfi Amer. Dia mendapat gelaran Le Coq kerana asyik conteng lambaq jenama tersebut pada kasut, beg sekolah dan segala benda milik dia. Lambang ayam tersebut pun sangat sesuai dengan rambut dia yang sentiasa terpacak macam bulu ayam jantan.

"Ok.. jom balik" jawabku.

"Sapa nak pi dulu ni?"

"Bagi aku la pi dulu. Aku panjat slow" sahut Mat Deris.

"Ok hang pi dulu.." balas Le Coq.

Kami semua duduk semula dalam gelap di belakang kedai sambil memerhati persekitaran kalau-kalau ada polis atau warden datang meronda.

Mat Deris meluru melintas jalan dan terus terjun semula ke dalam longkang besar.

"Next.. goooo !!!" kata Le Coq.

Seorang demi seorang melintas jalan dan terjun semula ke dalam longkang.

Tiba-tiba Mat Deris merangkak keluar dari longkang dan terus panjat pagar betul-betul bawah tiang lampu pagar yang terang-benderang.


"Alamakkkkkk..... !!!! " Salah seorang merungut.

'Awat?" tanyaku.

"Tuu hangpa tengok.. Mat Deris panjat betul-betul bawah lampu!!!"

"Haaa?????!!!!!" kami semua dah panik. Kalau Mat Deris kena tangkap. Habislah kami semua kena tangkap juga nanti.

Mat Deris berjaya melepasi pagar dengan selamat. kami semua panggung kepala dari dalam longkang sambil maki Mat Deris dari dalam longkang.

"Haram #$%%^%&%$##@#$ hang Mat Deris. hang nak semua kita kena tangkap ka?" maki salah seorang kami yang sudah ketakutan melihat tindakan Mat Deris tadi. Rancangan kami sebenarnya ialah berlari dalam longkang dahulu sepanjang dua padang bola sepak sebelum kami dapat panjat di tempat yang paling gelap. Tapi Mat Deris dah terlalu awal panjat pagar. Sudahlah betul-betul bawah lampu. Memang nak cari nahas.

Kami yang masih di dalam longkang mula mengira bilangan. 

'Ok. Dah cukup 7 orang.. jom lari sampai hujung.." kata Le Coq.

kami mula berlari sambil membongkok dalam satu barisan. Penat dan lenguh belakang tak terkira. nak melepasi 2 padang bola memerlukan stamina yang tinggi. sesekali kami berhenti menarik nafas dan apabila tiada kenderaan yang lalu, kami curi-curi lompat dan berlari atas rumput bagi menjimatkan masa. apabila nampak lampu kenderaan, kami akan terjun semula dalam longkang dan meneruskan acara larian dalam longkang. Bukan senang punya kerja, dalam longkang memang gelap gelita. Kalaulah ada ular dalam tu, habislah kami. 

Setelah bertungkus lumus berlari dalam keadaan membongkok, akhirnya kami sampai di penghujung pagar yang berdekatan dengan ladang getah. Lokasi itu yang paling gelap. Mat Deris berlari seorang diri menyelurusri pagar. Dengan selamba dia berlari secara tegak. memang lain kali tak boleh ajak dah. Apabila kami sampai di penghujung pagar, Mat Deris sudah pun sampai. Itu pun buat muka bukan main penat.

"Woi Mat Deris, hang tunggu tang tu dulu. Bagi kami semua panjat dulu.." arah Le Coq. 

"Line clear.. goooo..!!!" le Coq memberi arahan. Kami mula merangkak keluar dari longkang seorang demi seorang dan memanjat pagar.

Apabila semua sudah berjaya memanjat, kami semua meniarap atas tanah dan kemucutnya sudah setinggi lutut. 

"Ok.. hangpa nampak tangki taik tu...?" kata Le Coq

"Ok..nampak..nampak.." jawab kami dalam tercungap-cungap.

" Kita pelepas dua orang dulu merangkak sampai sana dan ushar line.."

'Ok.. hang pi dulu Karam' kata le Coq kepada Karam Singh yang nama sebenarnya ialah Karim. karim dan seorang lagi pun merangkak mengharungi lautan kemucut sejauh dua padang bolasepak. Agak lama masa yang diambil oleh mereka berdua untuk sampai ke tangki najis. 

Kami yang lain berehat dahulu atas rumput sambil memerhati sebarang pergerakan yang boleh mencurigakan kami. 

Akhirnya Karam dan pasangannya selamat tiba di tangki najis. Dari jauh kami nampak Karam dan kawannya terkinjal-kinjal mengintai bilik basuh pakaian yang kami telah sediakan pakaian persalinan kami semua. setiap kali kelibat budak-budak asrama mundar-mandir di atas bangunan, Karam akan menyorokkan diri semula. Ya lah, budak asrama yang jenis 'spy' warden pun ada. Kalau depa nampak, mampus lah kami.

Setelah laluan dikenalpasti selamat, Karam pun memberi isyarat tangan bahawa laluan sudah selamat. Karam terus berlari dengan pantas masuk ke dalam bilik basuh. tak lama kemuadia dia dan kawannya keluar semula lengkap berkain pelikat, berbaju melayu dan bersongkok hitam. Karam naik ke tingkat atas untuk memberi maklumat kepada kami yang masih di padang. 

Setiap kali Karam angkat tangan tanda selamat, seorang demi seorang akan merangkak ke tangki najis dan menyusup masuk ke dalam bilik basuh pakaian.

Setibanya aku dalam bilik basuh, aku tengok dari hujung kepala sampai hujung kaki aku dipenuhi dengan kemucut.

"Ahh.. biarlah dulu.. " kataku.


Kami pun londeh semua baju dan seluar yang penuh dengan kemucut dan sarungkan kain pelikat, baju melayu dan songkok hitam. Semua nampak segak seolah-olah tiada apa yang berlaku. Ketika aku sudah naik ke tingkat atas, masih ada saki-baki unit kami yang terkial-kial merangkak dalam lautan kemucut. Aku memberi arahan 'LINE CLEAR' apabila laluan selamat kepada kawan-kawan di bawah. Lucu pula tengok Mar Deris merangkak dengan badannya yang besar tu.

"Hang buat apa tu?" tiba-tiba aku ditegur dari belakang.. tersentak aku dibuatnya.

"Ahh..??? ehh.. tak dak apa aihhh.. hehehe" jawabku. Rupanya Faishol atau gelarannya  Prof Serba Tau sedang memerhati tingkah laku pelik aku sejak tadi.

"Aku tau hangpa buat apa " kata Faishol.

" Eeiiii... menyibuk laa..dia ni memang betoi-betoi Prof serba Tau la..semua dia tau..hmmm " rungut aku dalam hati. Prof Serba Tau ialah satu watak kartun dalam majalah Gila-Gila yang sangat popular pada tahun 80an.


'Syyy.. hang diam boleh dak?" aku menyuarakan rasa tak puas hati aku.

" Hahaha.. " Faishol ketawa sambil masuk semula ke dalam bilik.

Aku terus memerhati sekeliling sambil memberi isyarat kepada kawan-kawan lain sehinggalah kami semua tiba dengan selamatnya. Alhamdulillah, tak ada sesiapa yang tertangkap malam tersebut. Kami semua masuk ke dalam bilik dan terus tidur dalam senyuman di atas kejayaan misi Rambo malam tersebut. Bukan senang, ada kawan-kawan lain yang kena cekup dengan pihak polis dan dibawa ke balai polis Tasek Gelugor dan diserah semula kepada pengetua atau warden. Memang berbirat punggunglah akibatnya. Cuma satu perkara yang menyusahkan hati aku malam itu, persoalan macamana aku nak cabut semua kemucut tu esok. Setiap kejayaan pasti ada harganya.





'Hide & Seek'.

Rutin kehidupan yang asyik melakukan aktiviti yang sama setiap hari amat membosankan. Setiap hari setelah balik dari sekolah, solat zuhur dan makan tengahari, kami akan pergi semula ke bangunan sekolah untuk kelas prep. Kami semua perlu tukar uniform sekolah kepada uniform asrama yang serba biru. Masa inilah masa yang paling meletihkan dan kelopak mata semakin berat. Kalau ada yang terlena, warden akan kejutkan kami dengan libasan rotan. Memang mujarab untuk hilangkan mengantuk.

Kelas prep petang adalah acara yang amat dibenci oleh sebahagian kami. maklumlah, tidur lagi sedap. Maka kami sentiasa mencari idea-idea yang bernas untuk mengelakkan diri daripada dipaksa pergi ke kelas prep. Ada yang telan ubat gigi untuk mendemamkan diri, ada yang tenyeh mata dengan ubat gigi supaya mata kelihatan merah seperti sakit mata dan sebagainya lagi. Namun siapa yang sanggup hari-hari telan ubat gigi? Memang cari nahas.

Kami pun dah letih main 'hide and seek' dengan warden. Bila warden naik ikut tangga depan, kami lari turun ikut tangga belakang. Bila warden turun, kami naik semula. Letih juga rupanya permainan ini. Kalau nasib tak baik, warden angkat geng dan kepung, habislah kami.

Taktik kepungan oleh warden bukanlah bermakna kami sudah tewas. Idea kami tak pernah kering. Yang paling penting ialah 'kami tak mahu pergi kelas prep. Kalau dibumi sudah tidak selamat untuk kami, bermakna kami kena ikhtiar membuat tempat penyembunyian di 'atas'. Kami mula menebuk siling di bilik-bilik di tingkat paling atas. Setiap bilik disediakan satu katil yang betul-betul dibawah siling yang sudah ditebu untuk memudahkan kami lompat ke atas dan juga terjun semula ke bawah. Kerjasama antara ahli setiap bilik amat penting. Sekirannya warden membuat rondaan di bilik paling hujung, mereka akan naik ke siling dan terjun di bilik lain untuk meloloskan diri. 

"Warden naik..warden naik...!!!!" kedengaran suara mat Chot Ninja antara berbisik dengan nak menjerit memberi amaran kehadiran warden. Beliau berlari ke semua bilik-bilik supaya 'save your life'. Warden baru sahaja meletakkan tapak kaki di tangga bawah, kami yang sedang enak tidur atau baring-baring di atas sudah pun mendapat 'amaran bahaya' dari geng tingkat bawah. Masing-masing berlari ke bilik-bilik paling atas yang mempunyai siling. katil-katil khas untuk ke atas sudah pun  dikenalpasti. Kami berebut-rebut melompat ke atas siling sebelum tertangkap oleh warden.

"Lekas la Madi oiii.." kelihatan Ismardi terkinja-kinja kerana asyik gagal melompat ke atas. Aku lucu terkenangkan si Ismardi ni kerana sepatutnya dengan tubuhnya yang kurus dan tinggi lampai itu, dia lah yang paling mudah melompat melalui lubang siling itu. Tapi sebaliknya itu tidak berlaku. beliau sekarang merupakan seorang Kadi di sebuah pejabat agama di Kedah yang memakai gelaran 'Tuan Sheikh'.


'Wooii..lekaih laaa...renjong saja.. lompat pun tak lepaih.." rungut kami yang terketar-ketar menunggu giliran untuk lompat ke atas siling. Suasana semakin mencemaskan...

"Habis la kita kali ni..' kataku.

"Hang pi menyorok tang lain lah Madi..!!!" marah dah kawan-kawan yang sedang cemas. 

"Ish..ish.. tak boleh laa.." rungut Ismardi sambil terjun semula ke lantai. selepas itu aku tak pasti ke mana Ismardi menghilangkan diri. Aku dan Allahyarham Hakam dengan pantas melompat naik ke atas siling dan menutup semula lubang siling tersebut agar tidak dicurigai oleh warden yang membuat rondaan.

sebaik sahaja aku sudah berada di atas siling, aku ingat hanya ada beberapa orang sahaja yang ponteng kelas prep, rupanya-rupanya penuh atas siling tu daripada bilik paling hadapan sehinggalah bilik terakhir. Semuanya mendiamkan diri tanpa sepatah perkataan pun. Suhu kat atas tu cukup untuk memandikan kami dengan peluh. 

"Ya Allah..panasnya..!!!" aku merungut dalam hati sambil memujuk diri untuk bertahan dan bersabar di atas 'ujian getir' ini. kalau aku tak ponteng pun tak sesusah ini. kat kelas prep ada kipas angin, kerusi dan meja yang selesa. Tapi kat atas siling ni sudah lah panas, bau ketiak masam lagi.

Masing-masing kami bermandi peluh. Jam baru menunjukkan pukul 3 petang. kalau nasib tak baik, kami mungkin terpaksa bertahan sehingga kawan-kawan lain pulang dari kelas prep waktu solat asar nanti.

Warden terus meronda. Kami dapat memerhati semua gerakan warden dari celah-celah lubang siling. Kawan-kawan yang menyorok di siling paling awal akan beri isyarat ' cikgu kat bawah ni '. Begitulah sistem penyampaian maklumat yang kami amalkan. Seperti biasa, apa yang penting ialah kerjasama.

Warden masih mundar-mandir di bilik-bilik kami. sebarang kesilapan salah seorang kami akan memberi bencana kepada semua. Hati perlu kental, semangat berpasukan wajib diamalkan. namun suhu panas di atas terus menguji ketahanan mental kami. Aku perhati kawan-kawan yang menyorok di bahagian paling hujung iaitu tandas. Di situ ada tangki air, mereka menyejukkan badan dengan memeluk tangki air tandas. 

"Wah.. syok la depa boleh peluk tangki ayaq" aku berbisik pada Hakam.

'Jom..." ajak Hakam.

kami berdua berjalan perlahan-lahan ke arah tangki air.

"Tumpang lalu.." kata Hakam sambil berhati-hati memijak kayu-kayu siling. Aku mengekor di belakang. 

'Ahhhh.. legaa sikit " kataku sebaik sahaja dapat mendakap tangki air tandas itu.


Setelah lama bertahan, salah seorang daripada kami turun untuk mengintip pergerakan warden. Kami menanti dengan penuh harapan bahawa warden sudah tinggalkan kawasan asrama. 


Tidak lama kemudian, dia masuk semula ke dalam bilik dan panjat ke atas..

"Line keliaaaaa....!!" katanya sambil mengangkat isyarat ibu jarinya.

'Alhamdulillah.....  " sambut kami semua dengan rasa penuh kesyukuran.. kami pun turun beramai-ramai dan menyambung aktiviti baring-baring kami sementara menunggu kawan-kawan yang lain pulang dari kelas prep.

"Hang menyorok kat mana tadi?" tanya Hakam kepada Ismardi.

"Dalam locker!"



Ya.. selain daripada siling, almari pakaian adalah satu satu cara menyembunyikan diri. namun ada juga yang kantoi dengan taktik tersebut kerana almari boleh dicungkil pintunya oleh warden. Ramai juga yang terkantoi dengan kaedah ini. Apabila pintu almari dibuka, si penyorok hanya mampu tersengih dengan penuh manja sebelum punggung disebat oleh warden.

Satu lagi kaedah persembunyian yang kami tak pernah mengecewakan kami ialah susunan almari-almari kami secara sebaris atau sekelompok, dan dicelahnya ada sedikit ruang yg amat sempit yang hanya muat badan kami. Sekilas pandang memang tak perasan ia adalah tempat persembunyian. setiap kali warden membuat rondaan, di belakang almari sentiasa penuh. siapa lambat 'take cover', pandai-pandailah 'hilangkan diri'.







Dipaksa masuk asrama puteri.

"Ni apa dok gantung-gantung bendera penuh kat tingkap ni?" bunyi suara cikgu Kamariah memecah kesunyian pagi. 'Bendera' yang beliau maksudkan ialah seluar-seluar dalam yang kami digantung di tingkap bilik untuk dikeringkan.. Pagi itu semua pelajar lelaki diperintahkan balik ke asrama kerana asrama bersepah dan tidak terurus.

Cikgu Kamariah baru sahaja dilantik sebagai warden asrama bagi membantu warden-warden yang lain. Mungkin beliau menganggap kami semua sudah macam anak-anak beliau sebab itu suka hati beliau nak buat pemeriksaan mengejut bila-bila masa. Satu demi satu bilik beliau lawati mencari-cari kesalahan kami. Bernanah telinga kami mendengar leteren beliau bak mesingan automatik yang memuntahkan peluru bertubi-tubi. Apa daya kami selain hadap sahaja semua tu. Memang salah kami pun. Cuma yang tak tahan tu bila kita terpaksa hadap leteren hasil perbuatan kawan-kawan lain. Tapi ok juga la sebab waktu kita buat salah, kawan-kawan lain pun sama juga 'wajib' dengar 'syarahan' beliau.

"Baik.. sekarang cikgu nak kamu semua ikut cikgu pergi tengok macamana bersihnya bilik-bilik kat asrama puteri. Turun semua dan beratur ikut bilik masing-masing..!" Cikgu Kamariah memberi arahan kepada semua penghuni asrama lelaki.

"Alamak.. takkan sampai kena pi asrama budak pompuan kot.." kataku berbisik kepada kawan-kawan lain.

"Tu la syok.. hahaha.." sampuk Kapten.

"Mana aci banding asrama budak jantan dengan budak pompuan" kataku tak puas hati sambil menuruni tangga untuk beratur di bawah.

Semua pelajar asrama berkumpul di kawasan lapang . Macam-macam reaksi muka kami yang menggambarkan perasaan dalam jiwa sambil melayan bunyi 'mesinggan' yang masih terus berbunyi tanpa kenal erti lelah.

Setelah semua siap dalam barisan. kami pun diarahkan untuk berjalan ke asrama puteri dalam barisan. kali terakhir kami naik ke asrama puteri ialah sewaktu sekolah kami berpindah daripada Padang Menora ke Simpang Keling ini. Masih teringat betapa lelahnya kami mengusung katil, tilam dan almari yang baru dibekalkan oleh kerajaan untuk dimasukkan ke bilik-bilik asrama puteri. Setiap petang selepas waktu persekolahan, akan ada bas dan lori yang mengangkut kami untuk 'dikerah' mengangkat segala barang-barang tadi naik ke atas bilik-bilik asrama. Namun zaman itu keikhlasan lebih penting daripada undang-undang berkaitan menggunakan pelajar untuk melakukan kerja-kerja seberat ini. Rasanya kalau budak-budak sekarang dikerah seperti kami, akan ada yang akan diheret ke mahkamah. maklumlah risiko memang tinggi. Bayangkan jika almari dua tingkat kami yang berat itu menghempap kami ketika diusung melalui tangga. Kemungkinan cedera atau mati sangat tinggi.

"Haa.. cuba kamu tengok bilik depa!. Ada habuk dak kat tingkap? Tu.. tengok lantai depa, berkilat. Bilik hangpa ada lagu ni?" suara tinggi cikgu Kamariah mengejutkan aku dari lamunan. Kami semua hanya mampu diam dan sesekali tunduk ke lantai.

"Tengok ni lagu mana depa tarik cadar depa. Cekang!" sambung cikgu Kamariah.

Setiap bola mata kami memandang tepat ke katil-katil pelajar perempuan yang kemas dan rapi.

"Mana aci wei.. kita kan jantan" bisik aku lagi kepada kawan-kawan aku. Semua hanya mampu diam.


Kami terus dibawa melawat satu demi satu bilik-bilik pelajar perempuan sambil peluru-peluru mesinggan cikgu Kamariah menyumbat lubang-lubang telinga kami.

Aku rasa memang tak adil betul buat perbandingan asrama lelaki dengan asrama perempuan. Ya lah, kami ni lipat baju pun tak jadi, apa lagi nak tarik cadar katil cekang-cekang. 

'Kat mana depa jemuq 'bendera 3 segi depa ya?.. satu pun tak nampak!!!!" tiba-tiba suara sumbang entah dari mana. 

Kalau kat asrama kami, 'bendera' tiga segi tu bergantungan di muka pintu, di hujung katil, malah ada yang berpusing bersama-sama bilah kipas siling. Supaya cepat kering..!!!!.

Setelah selesai sesi melawat kawasan asrama puteri, kami pun dibenarkan pulang ke bilik masing-masing untuk mempraktikkan apa yang baharu kami saksikan di bilik-bilik pelajar perempuan. Ramai yang buat muka tak puas hati sebab bilik-bilik kami dibanding-bandingkan dengan bilik budak-budak perempuan. Setelah semua cadar tilam kami sudah tegang dan kemas, lantai telah bersih, kami pun diarahkan masuk ke kelas masing-masing kerana sesi persekolahan masih berjalan.

"Ini tak adil... !!! kalau nak kami kemas macam tu, baik kami tukar jantina ja.. jadi pompuan. kan senang.. hahaha" kami pun ketawa beramai-ramai menghilangkan stress telinga setelah seharian asyik kena berleter.



Kecurian di asrama.

"Woi.. sapa nampak tali pinggang aku ?!!!" jerit Mat Brie semasa sedang bersiap-siap untuk pergi ke kelas.

"Sapa nampak beg duit aku wei..?" jerit Brahim Kundoq pulak..

"Beg duit aku hilang laa.. "..

"Biskut aku pun hilang.."

"Milo aku ada orang ambik..."

Riuh pagi tu kerana banyak benda yang hilang. Entah siapa punya kerja.

Di sekolah, ramai yang mula bersembang tentang kehilangan barang masing-masing. Isu kecurian dah kecoh di kalangan pelajar dan guru.

Selesai solat maghrib, warden bertugas berucap di surau berkaitan isu yang sedang hangat. 

"Kita akan buat bacaan yasin setiap malam mulai malam ini sehinggalah si pencuri dapat kita tangkap" tegas warden.

Sejak malam itu, kami mengadakan bacaan yasin setiap malam. Sehingga malam ketiga, tiada tangkapan dibuat, tiada apa-apa clue tentang si pencuri. Yang peliknya, si pencuri langsung tak ada rasa gerun dengan ritual bacaan yasin kami setiap malam.

"Nampaknya sudah masuk malam yang ketiga dan si pencuri belum dapat ditangkap atau datang mengaku" kata warden dalam ucapan selepas solat maghrib.

"Baiklah.. kita dah banyak bagi peluang kat dia dan dia tak kisah pun.." sambung warden.

"Esok saya akan cari bomoh dan kita akan buat si pencuri menderita " kata warden memberi amaran yang lebih keras.

" Jika terjadi apa-apa yang mengerikan esok.. jangan salahkan saya" kata warden dengan wajah yang amat serius.

Kami semua hanya mampu menelan air liur.

"Fuhh.. main bomoh terus " bisik hatiku. Amaran malam itu mengingatkan aku sewaktu sekolah rendah dahulu. Rakan kelas aku berbangsa India kalau tak salah namanya Bala, telah mencuri pen cikgu. Cikgu aku, cikgu Jamaliah namanya, amat-amat terkilan atas kehilangan pen kesayangan beliau. Cikgu Jamaliah rupanya bukan calang-calang orang. 

"Tada ciguu.. saya tada curi pen ciguu" Bala cuba menafikan.

" Baiklah... saya akan beri kamu minum air yang akan saya jampi, kalau perut awak kembung, bermakna awak memang pencuri. Berani tak?" gertak cikgu Jamaliah.

"Tapa ciguu.. saya akan minum.."

Cikgu Jamaliah mengambil cawan plastik yang berisi air masak lalu mulut cikgu kumat-kamit membaca sesuatu dan dihembuskan ke air tersebut. 

Kami semua diam membisu sambil tertanya-tanya apa yang akan berlaku.

Bala langsung tak menunjukkan muka bersalah. Setelah siap cikgu Jamaliah menjampi, air itu diserahkan kepada Bala.

Bala mengambil air tersebut dan terus minum tanpa ragu.

Kami semua diam sambil memerhatikan Bala yang berdiri tercegat di hadapan kelas.

Rasa aku, tak sampai satu minit, kami mula nampak perut Bala mulai membesar seperti nak pecah. Satu kelas dah mula panik dan gelisah bimbang perut Bala betul-betul pecah dan mati.

Bala pun mula gelisah sambil memegang perutnya yang membusung seperti wanita mengandung. Keringat mula terbit dari dahinya. Matanya terbeliak memandang wajah cikgu Jamaliah.

Cikgu Jamaliah tersenyum sinis sambil memandang tepat pada mata Bala seolah-olah berkata " Apa macam sekarang?".

"Ciguu.. saya mau minta maaf ciguu.. " suara Bala terketar-ketar ketakutan.

"Ohh.. jadi betul la awak yang curi pen cikgu?"

"Betul ciguu.. saya yang curi" akhirnya bala mengaku.

" Mana pen cikgu? Awak pergi ambil sekarang !!!" kata cikgu Jamaliah tegas.

"Bala berjalan ke mejanya dan mengambil sesuatu daripada begnya dan kembali ke depan kelas untuk menyerahkan kembali pen yang dicurinya.

"Lepas ni mau curi lagi tak?" tanya cikgu Jamaliah dengan nada sedikit mengejek.

"Tamau ciguu.. saya janji" jawab Bala.

Cikgu Jamaliah mengambil semula air tadi dan mula membaca sesuatu pada air tersebut. 

Bala minum semula air tadi... kami semua jadi saksi perut Bala yang tadi sarat mengandung mulai surut.

Memang istimewa kenangan ini sehinggakan sampai sekarang aku masih ingat.

Selesai.

Berbalik kepada kisah amaran warden nak guna khidmat bomoh.

Malam yang keempat...

Kami semua sudah selesai menunaikan solat maghrib, bacaan yasin dan juga solat Isya.

Warden keluar dari surau dan ke bilik warden.

Tak berapa lama, beliau kembali ke surau dengan membawa satu bungkusan putih. Kami semua dah mulai seram-seram sejuk.

Bungkusan pun mula dibuka..

Aku yang berada di saf depan waktu solat tadi dapat lihat dengan jelas objek dalam bungkusan itu iaitu segulung kain putih seperti rokok resdung yg di dalamnya ada sebatang lilin. Semuanya ada tiga batang.

"Baik.. utk pengetahuan semua.. saya akan mula bakar lilin ini satu persatu. Lilin yang pertama kesannya kurang kuat, kalau boleh saya nak yang mencuri tu mengaku cepat sebelum saya bakar lilin yang kedua dan ketiga. Lilin yang kedua dan ketiga jika si pencuri masih tak mengaku, dia tanggunglah akibatnya" kata warden dengan wajah yang amat serius. Kami semua diam membisu.





(Bersambung)


Amuk

Hantu pochong

Komtar









Comments

  1. Replies
    1. insyaallah bila ada kelapangan dan idea.

      Delete
    2. hahaha tau sapa Mat Deris ni... ya dan nama betoi dia pun kami lupa gak. Yang pasti dia kawin dgn budak Irsyad juga.

      Delete
    3. nama apa ya? lupa laa..

      Delete
  2. Tq dpt mmahami jiwa ank duk asrama

    ReplyDelete
    Replies
    1. sama-sama. terima kasih juga kerana sudi berkunjung ke blog saya.

      Delete
  3. sumpah mmg lawak.. sama macam sy sekolah dulu.bezanya kami semua pelajar perempuan. jadi otai ms sekolah.dah mcm jantan

    ReplyDelete
    Replies
    1. terima kasih kerana sudi berkunjung ke blog saya. Nanti saya sambung lagi ya.

      Delete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Biodata ringkas imam-imam mazhab yang 4.

ABU HANIFAH rhm. ( 80- 150 H ) Abu Hanifah  ( ابو حنيفه ) atau nama sebenar beliau  Nukman bin Thabit  ( نعمان ن ثابت ) dilahirkan pada 80 Hijrah bersamaan 699 Masihi dalam sebuah kampung bernama Anbar di  Kufah ,  Iraq  ketika zaman pemerintahan Khalifah  Abdul Malik bin Marwan . Beliau berasal dari keturunan  Parsi  dan merupakan ulama terkenal Islam yang mengasaskan  Mazhab Hanafi . Gelaran beliau sebagai “Abu Hanifah” diambil kerana beliau sentiasa membawa dakwat ke mana sahaja beliau pergi untuk mencatat ilmu yang dicari. Beliau juga mendapat gelaran Abu Hanifah kerana mempunyai seorang anak bernama Hanifah dan Hanifah juga bermaksud cenderung agama. Beliau terkenal dengan sifatnya yang suka menghulurkan bantuan kepada sesiapa sahaja yang memerlukan bantuannya dan rajin berusaha serta mempunyai cita-cita yang tinggi dalam hidupnya. Beliau juga sangat menghormati guru-gurunya sehinggakan sering memberi hadiah kepada guru-gurunya dan guru-guru yang mengajar anaknya. Beliau pernah
Kisah benar . Ismail Kerbau...Semoga Allah mengampuninya... Dia pernah digeruni suatu ketika dahulu... Disebut² kejahatannya. Tapi, org kampung menghormatinya kerana sikapnya yang suka membantu org dlm kesusahan. Semasa aku masih belajar di pondok Bukit Besar, setiap malam aku dan rakan2ku akan diam2 menyusup ke dlm kebun getah utk mendalami ilmu persilatan Ismail Kerbau. Malam pertama ketika aku mula merisik kawasan Ismail Kerbau melatih anak2 muda kampung ilmu persilatan, aku dan kawanku (Mat Arab) bersembunyi di sebalik semak lalang supaya tidak disedari oleh Ismail Kerbau. Kami sampai lebih awal supaya kehadiran kami tak dihidu oleh Ismail Kerbau. Ketika kami sampai, kelihatan beberapa anak muda kampung sedang berlatih sesama mereka ilmu persilatan mereka dlm kepekatan malam. Hanya ada satu lampu mentol utk menerangkan gelanggang silat ini. Setelah mendapat tempat yg sesuai utk intipan, kami berdua pun meniarap di celah² semak samun itu. Kira² 10 minit, kedengaran dar

Aliran-aliran Pemikiran dalam Islam

Aliran-aliran pemikiran dalam Islam. Muktazilah Muktazilah  (bahasa Arab: المعتزلة al-mu`tazilah) adalah satu dari cabang pemikiran dalam  Islam  yang terkenal dengan sifat  rasional  dan  liberal . Ciri utama yang membezakan pemikiran ini dari pemikiran teologi Islam lainnya adalah pandangannya yang lebih banyak menggunakan dalil 'aqliah (akal) sehingga sering disebut sebagai aliran rasionalis Islam.  Perkataan Muktazilah berasal dari bahasa Arab إعتزل (iʿtazala) yang bermaksud "meninggalkan", "menjauhkan diri". Sejarah perkembangan. Pemikiran Muktazilah mula bertapak pada kurun kelapan Masehi (abad kedua hijrah) di  Basrah ,  Iraq , apabila  Wasil ibn Ata  meninggalkan kelas pembelajaran  Hasan al-Basri selepas berselisih faham mengenai isu  Al-Manzilah bayna al-Manzilatayn  (akan diterangkan kemudian). Beliau dan pengikutnya termasuk  Amr ibn Ubayd  kemudiannya dilabelkan sebagai Muktazili/Mu'tazili. Golongan ini juga menggelar diri m