Skip to main content

Jangan mudah mengkafirkan sesama muslim.




“Sesiapa yang memanggil orang lain dengan ‘kafir’ atau ‘musuh Allah’ sedang dia tidak begitu, maka tuduhan itu kembali kepadanya (penuduh)”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).




Pendahuluan.

Suatu waktu dahulu sekitar tahun 90an, seorang rakan saya pernah bercerita, beliau sangat marah dengan seorang Pak Haji di kampungnya yang tidak bersama parti politik berjenama Islam yang disertai oleh sahabat saya ini. Bagi rakan saya ini, sia-sia sahaja Pak Haji itu solat, puasa dan zakat tetapi menyokong parti yang tiada jenama Islam. Bagi rakan saya ini di dalam Al-Quran jelas mengatakan barangsiapa yang tidak berhukum dengan hukum Allah, maka mereka itu kafir. Oleh kerana beliau terlalu bersemangat sebagai seorang 'pejuang Islam tulen', saya menangguhkan dahulu untuk menenangkan api semangat 'jihad; beliau. Saya biarkan beliau terus bercerita. Beliau menyambung ceritanya lagi. Suatu malam, rakan saya ini menaiki motosikal menuju ke rumah Pak Haji ini. Setiba beliau di hadapan rumah Pak Haji, rakan saya terus menekon hon motosikal sepuas-puasnya sambil menjerit-jerit " Hoiii... Haji kapiaaaaaqqq!!!!"


Kisah sebenar di atas benar-benar membekas dalam ingatan saya sehingga hari ini. Betapa dahsyatnya penangan pentas-pentas ceramah politik yang mentafsirkan agama sebebasnya dan menggunakan dalil-dalil Al-Quran dan hadis dan ditundukkan dalil-dalil tersebut agar menyokong matlamat politik. Peminat-peminat pentas ceramah politik pula menyangka mereka telah 'berjuang' untuk agama mereka dan hanya mereka sahaja berada di landasan yang benar. Itu belum lagi bagaimana rakan saya ini pernah bercerita tentang beliau dan rakan-rakannya yang tidak akan makan haiwan sembelihan oleh individu berlainan parti politik, tidak mahu menghadiri kenduri mereka dan solat berimamkan mereka yang berlainan parti politik. Bila ada ustaz-ustaz yang tidak dikenali datang untuk memberikan kuliah atau ceramah, mereka akan bertanya dahulu "Ustaz dulu fikrah dia 'clear' dak?". Seperkara lagi, jika penceramah yang dijemput tidak menghentam golongan parti lawan, maka penceramah akan diistilahkan sebagai 'ustaz ceroi' yang memberi maksud tidak bagus dan penakut. Sesetengah masjid dan surau pula, jika ada penceramah yang baharu kali pertama sampai, mereka akan ditaklimatkan dahulu tentang jenis-jenis pihak yang perlu dihentam dalam ceramah nanti. Ini juga sebahagian pengalaman saya sendiri apabila dijemput berceramah pada masa tersebut.


Saya ingin mengingatkan diri saya sendiri dan para pembaca sekelian supaya memerhatikan amaran Nabi s.a.w ini:

“Sesiapa yang memanggil orang lain dengan ‘kafir’ atau ‘musuh Allah’ sedang dia tidak begitu, maka tuduhan itu kembali kepadanya (penuduh)”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Para ahli ilmu seperti Shaikhul Islam Ibn Taimiyyah, Al-Albani, Ibn Uthaimin, Ibn Baz dan sebagainya pernah membicarakan tentang perkara-perkara yang menghalang seseorang muslim untuk menjatuhkan hukum kafir terhadap saudara muslim yang lain. Berikut adalah lima perkara penghalang yang dimaksudkan.


1. Kejahilan.

Kita tidak menjatuhkan hukum kafir kepada saudara seagama walaupun beliau pernah beriktiqad atau mengucapkan kata-kata yang boleh membawa kepada jatuh kafir sekiranya iktiqad atau kata-kata tersebut diucapkan disebabkan kejahilan atau tidak sampai maklumat itu kepada beliau. Terdapat perbahasan yang sengit tentang maksud 'jahil' ini. Sebahagian ahli ilmu hanya membataskan kepada golongan yang sememangnya tiada kemampuan untuk mendapatkan maklumat bagi menghilangkan kejahilannya seperti orang yang tinggal di tempat terpencil dan sukar mendapatkan ilmu. Adapun jika terdapat kemampuan untuk mendapatkan ilmu tetapi enggan belajar, alasan jahil tidak boleh diterima sebagai satu keuzuran. 

Termasuk juga dalam ketegori kejahilan bagi kes seseorang terhalang daripada mendapat maklumat contohnya seseorang yang asalnya seorang yang bertauhid tetapi beliau 'terlepas pandang'  beberapa maklumat. Sekira dalam keadaan ini, apabila beliau tersilap langkah dalam perbuatan atau ucapan, juga tidak boleh dihukum kafir.

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah (meninggal 728H) begitu berhati-hati dalam isu takfir ini. Semata-mata satu ucapan seseorang belumlah cukup sebagai hujah untuk menghukum keimanan seseorang. Menurut beliau, 

“Sesungguhnya ucapan yang menjadikan seseorang itu kufur ialah seperti mengingkari kewajipan solat, zakat, puasa dan haji. Namun, pengucapan itu mungkin kerana khitab (ajaran yang betul dalam perkara tersebut) tidak sampai kepadanya. Jika perkara itu berlaku, dia tidak dianggap kafir. Contohnya, golongan yang baru menganut Islam dan hidup di daerah pedalaman yang jauh sehinggakan syariat Islam tidak sampai kepadanya.” 

(Majmu’at al-Fatawa, jil: 2, ms: 220.)



As-Sheikh Dr Yusuf al-Qaradawi juga bersependapat dengan kenyataan Shaikhul Islam ini. Kata beliau:

“  Hendaklah diberikan perhatian pada apa yang telah diputuskan oleh para ulama muhaqqiqun (penganalisa) mengenai kewajipan membezakan antara peribadi dan jenis dalam isu takfir (kafir mengkafir sesama muslim). Ini bermaksud, sebagai contoh, kita mengatakan golongan komunis kafir, para pemerintah sekular yang membantah hukum syarak atau sesiapa yang menyatakan begini atau menyeru kepada ini, maka dia kafir. Ini semua termasuk hukuman pada jenis. 


   Adapun berhubung dengan perkara yang berkaitan dengan peribadi seseorang yang dituduh dengan sesuatu, wajib mengambil masa untuk membuat kepastian dan kesabitan tentang hakikat sebenar pendiriannya. Hal ini dilakukan dengan cara menyoal atau berbincang dengannya sehingga ditegakkan hujah, tiada lagi unsur syubhat (keraguan) dan tiada lagi keuzuran untuknya. Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah pernah menyebut bahawa perkataan juga boleh menyebabkan kekufuran. Secara umum, orang yang mengucapkannya dihukum kafir. Dengan berkata, sesiapa yang mengucap sekian (sesuatu ucapan yang membawa kepada kufur), maka dia kafir. Tetapi, individu yang mengucapkannya tidak dikafirkan sehingga dibuktikan kekufurannya”. (Al-Qaradawi, Zahirah al-Ghulu fi al-Takfir, ms: 26-27).


Satu lagi contoh bagi menjelaskan lagi maksud kejahilan seperti mafhum hadis di bawah ini:

“Seorang lelaki yang telah lalai selama hidupnya, ketika sedang nazak dia berkata kepada anak-anaknya, “Setelah aku mati nanti bakarlah jasadku, setelah itu hancur lumatkan jasadku dan lemparkan debunya ke udara. Demi Allah, sekiranya aku berdepan dengan Allah nanti aku akan diseksa dengan azab yang tidak terperi sakitnya.” Setelah dia mati, wasiatnya pun ditunaikan. Allah memerintahkan bumi menghimpunkannya semula dan tatkala lelaki itu dibawa ke hadapanNya, Allah bertanya kepadanya: Mengapa engkau berwasiat sedemikian? Jawabnya, “Kerana takut terhadapMu.” Maka Allah mengampuninya". (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Lelaki yang disebut di dalam hadis ini sesungguhnya jahil tentang kekuasaan Allah yang mampu menghidupkan apa sahaja, tetapi dalam waktu yang sama beliau masih beriman kepada Allah dan mempunyai perasaan takut yang amat kuat kepada Allah. Maka atas kejahilannya itu Allah sudi untuk mengampunkannya dan tidak mengazabnya.



2. Tersilap

Kita tidak menjatuhkan hukum kafir kepada seseorang yang tersilap langkah. Seseorang yang tersilap ialah beliau tidak bermaksud untuk melakukan sesuatu tetapi telah terjatuh dalam satu kesilapan. Contohnya seseorang yang berburu kijang, tetapi telah terbunuh manusia. Begitu juga seseorang yang ingin menulis dengan tujuan mempertahankan kitab Allah, tetapi tersilap dan tiba-tiba dengan tidak sengaja menyerang kitab Allah. Dan dalil bagi kategori ini ialah firman Allah:


(وَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ فِيمَا أَخْطَأْتُم بِهِ وَلَكِن مَّا تَعَمَّدَتْ قُلُوبُكُمْ)  (54) ( الأحزاب الآية 5 ) 

"Dan tidak menjadi kesalahan ke atas kamu dalam perkara yang kamu tersilap dengannya, tetapi ( apa yang salahnya ialah) apa yang disengajakan oleh hati kamu". (Al-Ahzab: 5.)

Kisah seorang lelaki yang keseorangan ketika dia kehilangan haiwan tunggangannya yang membawa makan minumnya di tengah padang pasir. Setelah berputus asa mencarinya dia baring terlelap di bawah teduhan sebuah pokoh. Dan tatkala dia bangun dia mendapati tunggangannya berdiri dihadapannya. Akibat terlalu gembira dia berkata, “Ya Allah! Engkau hambaku dan aku tuhanmu!” (Hadis Anas bin Malik, riwayat Muslim no. 2747).

Lelaki yang disebutkan oleh Nabi s.a.w ini jelas tersilap lantaran beliau terlalu gembira sehingga tersalah cakap sesuatu yang dia tidak maksudkan dan bercanggah dengan keimanannya sendiri. Maka kesilapannya diampuni Allah.


3. Paksaan.



Unsur paksaan ialah apabila seseorang melakukan sesuatu yang dia sendiri tidak mahu melakukannya. Dalam hal ini seseorang yang  dipaksa oleh pihak lain untuk melakukan sesuatu perbuatan  atau mengucapkan sesuatu perkataan kerana mengelakkan daripada ditimpa sesuatu mudharat samada pada dirinya, ahli keluarganya atau hartanya. Rahmat Allah yang tidak mahu menyusahkan hambaNya dengan menghukum hambaNya yang dipaksa. Firman Allah:


 كَفَرَ بِاللَّهِ مِنْ بَعْدِ إِيمَانِهِ إِلا مَنْ أُكْرِهَ وَقَلْبُهُ مُطْمَئِنٌّ بِالإيمَانِ وَلَكِنْ مَنْ شَرَحَ بِالْكُفْرِ صَدْرًا فَعَلَيْهِمْ غَضَبٌ مِنَ اللَّهِ وَلَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ

"Barang siapa yang kafir kepada Allah sesudah dia beriman (dia mendapat kemurkaan Allah), kecuali orang yang dipaksa kafir, padahal hatinya tetap tenang dalam beriman (dia tidak berdosa), tetapi orang yang melapangkan dadanya untuk kekafiran, maka kemurkaan Allah menimpanya dan baginya azab yang besar".(An Nahl: 106)

Perhatikan pula kisah Ammar Bin Yaser r.a yang terpaksa mengaku kufur ketika tiada tertanggung lagi dengan seksaan kaum musyrikin, Rasulullah s.a.w masih mengiktiraf bahawa Ammar masih beriman kerana ada unsur ancaman yang diiktiraf di sisi syarak. 

Maksud diiktiraf di sisi syarak ialah:

1. Ancaman tersebut boleh menyakiti orang yang diancam seperti bunuh, kerat anggota mangsa, tangkap, pukul dan seumpamanya.

2. Orang yang mengancam keselamatan  itu berkemampuan melakukan perbuatan jahatnya. Jika tidak, paksaan itu tidak diiktiraf di sisi syarak.

3. Orang yang dipaksa benar-benar tidak mampu lagi mempertahankan diri atau meminta bantuan daripada orang lain.

4. Orang yang dipaksa benar-benar yakin orang yang memaksa ada kemampuan melakukan ancaman terhadap diri orang yang dipaksa.

Jika memenuhi semua syarat-syarat di atas, maka unsur paksaan itu diiktiraf di sisi syarak.




4. Takwil

Jika seseorang berilmu mengucapkan sesuatu atau melakukan sesuatu yang mungkin ada takwilan atau tafsran lain, maka tidak boleh sewenang-wenangnya menjatuhkan hukum kafir kepada beliau. Syarat ini khusus hanya untuk ahli ijtihad dan bukan untuk manusia lain lebih-lebih lagi golongan yang sesuka hati mereka-reka ucapan mereka tentang Allah dengan kejahilan dan mengikut hawa nafsu.

Takwil yang dimaksud di sini adalah “Terjadinya kekufuran yang dilakukan oleh seseorang tanpa niat untuk melakukan kekufuran tersebut. Hal ini terjadi karena kekeliruan dalam memahami nas-nas syar’i tanpa ia sedari, bahkan ia berkeyakinan bahawa apa yang ia fahami adalah benar. (Ali bin Nayif Asy-Syuhud. Mausu’ah Al-Bhuts Wal Maqalat Al-Ilmiyah, hlm:1Maktabah Syamilah)
Pada masa pemerintahan Umar bin Khattab r.a, Qudamah bin Maz’un diangkat sebagai gabenor di Bahrain. Ada seseorang bernama Jarud melaporkan bahwa Qudamah meminum khamr bahkan menghalalkannya. Beliau dipanggil oleh Umar, dan mengakui perbuatannya. Qudamah berkata, “Wahai Umar walaupun aku telah meminum khamr, engkau tidak boleh meyebatku. Umar bertanya, kenapa?, ia menjawab, “karena Allah telah berfirman (yang bermaksud):Tidak ada dosa bagi orang-orang yang beriman dan mengerjakan amalan yang soleh karena memakan makanan yang telah mereka makan dahulu, apabila mereka bertakwa serta beriman, dan mengerjakan amalan-amalan yang saleh, kemudian mereka tetap bertakwa dan beriman, kemudian mereka (tetap juga) bertakwa dan berbuat kebajikan. Dan Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan. ( Al-Maidah: 93 ) Serta merta Umar menyanggah, “kamu telah keliru mentakwilkan ayat ini karena jika kamu bertakwa kamu pasti menjauhi larangan Allah. (Mas’ud Izzul Mujahid. Vonis Kafir antara berlebih-lebihan dan ketidaktegasan, (Solo, Jazera 2010), hlm:109.)

Dalam hal ini menurut Ibnu Taimiyah, Qudamah tidak dikafirkan sebab ia melakukannya kerana tersalah dalam mentakwilkan nas Al-Qur’an. (Ahmad bin Abdul Halim Ibnu Taimiyah Al-Harani Abul Abbas. Majmu’ Al-Fatawa, juz.7, hlm:619, Maktabah Syamilah)





Perhatikan pula bagaimana sikap nabi s.a.w dalam kes pembocoran rahsia kerajaan Islam Madinah oleh Hatib Bin Abi Balta'ah r.a. Sekilas pandang tentu kita akan mengatakan ini satu pengkhianatan terhadap hak Allah dan Rasul. Tetapi Rasulullah s.a.w menyelidik terlebih dahulu apa yang tersembunyi dalam jantung Hatib Bin Balta'ah sebelum mengatakan tentang hukuman terhadap iman beliau. Kisah ini diriwayatkan oleh al Imam Al-Bukhari rahimahullah:

“Rasulullah telah mengutuskan aku, Abu Martsad dan al-Zubair (kami semua adalah penunggang kuda). Baginda bersabda: Pergilah kamu semua sehingga sampai ke Raudah Khakh. Sesungguhnya di sana ada seorang wanita dari kalangan musyrikin. Dia membawa bersamanya surat daripada Hatib bin Abi Balta`ah kepada musyrikin.
Maka kami pun mengejarnya. Dia menaiki unta seperti yang dikatakan oleh Rasulullah s.a.w. Kami berkata kepadanya: Serahkan surat! Dia menjawab: Kami tidak membawa sebarang surat. Maka kami pun mendudukkan dan memeriksa wanita itu. Namun, kami tidak jumpa sebarang surat. Kami berkata: Rasulullah tidak pernah berdusta, sama ada engkau keluarkan surat tersebut atau kami akan telanjangkan engkau!
Apabila dia melihat kesungguhan kami maka dia pun terus mendapatkan simpulan kainnya. Dia pun mengeluarkan surat tersebut, lalu kami terus membawa surat itu kepada Rasulullah s.a.w. Kata Umar: Wahai Rasulullah, sesungguhnya dia (Hatib bin Abi Balta`ah) telah mengkhianati ALLAH, Rasul-NYA dan orang-orang mukmin. Biarkan aku pancung kepalanya!
Baginda bersabda (kepada Hatib): Apa yang mendorong tindakanmu? Kata Hatib: “Demi ALLAH, bukan aku tidak beriman kepada ALLAH dan Rasul-NYA s.a.w. Tetapi aku ingin mendapatkan bantuan daripada kaum (Quraisy). Dengannya ALLAH akan menyelamatkan keluarga dan hartaku. Tidak ada seorang pun di kalangan sahabatmu yang tidak mempunyai kaum kerabat di sana di mana dengannya ALLAH selamatkan keluarga dan hartanya.
Sabda baginda: Dia benar! Janganlah kamu berkata kepadanya melainkan yang baik. Umar berkata: Sesungguhnya dia telah mengkhianati ALLAH, Rasul-NYA dan orang-orang mukmin, biar aku pancung kepalanya. Baginda bersabda: Bukankah dia di kalangan anggota Perang Badar? Sabdanya lagi: Mudah-mudahan ALLAH melihat pada ahli Perang Badar dan berfirman buatlah apa yang kamu suka. Sesungguhnya telah dijamin untuk kamu syurga atau AKU telah ampuni kamu semua. Maka menangislah Umar seraya berkata: ALLAH dan Rasul-NYA lebih mengetahui”. (Riwayat al-Bukhari).


Walaupun begitu, ini juga tidak bermakna semua takwilan itu sah di sisi syarak. Ada takwil yang tidak diberi keuzuran.  Ibnu Wazir menjelaskan” Tidak ada perbedaan pendapat di kalangan ulama tentang kekafiran orang yang mengingkari perkara yang telah diketahui secara umum. Walaupun ia beralasan takwil, padahal perkara-perkara ini tidak ada ruang takwil. Seperti orang-orang Mulahidah yang telah mentakwilkan seluruh nama Allah, bahkan lebih dari itu mereka mentakwilkan seluruh Al-Qur’an, perkara hukum syarak, dan semua perkara yang berkenaan dengan hari akhirat, seperti kebangkitan, kiamat, surga dan neraka. (Abdul Aziz bin Muhammad bin Ali Al-Abdul Lathif. Nawaqidhul Iman Al-Quliyah Wal ‘Amaliyah, (Madarul Wathan Lin-Nasyr 1427 H), hlm:254-255)



5. Taqlid


Sama seperti penghalang-penghalang yang telah kita nyatakan sebelum ini, buka semua yang dianggap sebagai penghalang adalah muktabar atau diiktiraf dari segi hukum syarak. Taqlid yang diiktiraf sebagai salah satu keuzuran agar tidak dijatuhkan hukum kafir ialah individu tersebut mestilah terdiri daripada orang awam yang:

1. Bertaqlid kepada ahli iman yang beriman kepada Allah dan RasulNya. Ini bermaksud orang bukan Islam tidak mendapat keuzuran ini dengan ijmak para ulama.

2. Bertaqlid kerana tidak mampu menguasai ilmu dan mengenali kebenaran dan bukan disebabkan enggan belajar atau bertanya kepada yang berilmu.



Penutup.

Mengkafirkan sesama muslim adalah satu dosa yang amat berat. Paling menakutkan sekiranya tuduhan kafir itu sudah berpatah balik kepada si penuduh. Dari sudut yang lain kita ingin bertanya, apakah keuntungan yang dapat diraih daripada perbuatan mengkafirkan orang lain yang sama-sama bersyahadah mengakui Allah dan Rasul yang sama?. Di saat sebahagian umat Islam bertungkus lumus mengislamkan manusia dan mengajak manusia kepada Allah dan Rasul, tiba-tiba ada sebahagian pula sibuk mengeluarkan saudara mereka sendiri daripada daerah iman. Ini satu malapetaka yang tak boleh diterima oleh akal yang waras. Semoga tulisan ringkas ini dapat memberi sedikit sumbangan kepada umat Islam semua.

والله تعالى اعلم
30.08.2018







Rujukan:


http://www.startimes.com/f.aspx?t=33438215
) 
https://dorar.net/aqadia/3488

http://fatwa.islamweb.net/fatwa/index.php?page=showfatwa&Option=FatwaId&Id=317134

ttps://www.assakina.com/taseel/3157.html

ttp://pendidikankarakterdanadab.blogspot.com/2017/09/mawani-at-takfir-penghalang-penghalang.html


Comments

Popular posts from this blog

Biodata ringkas imam-imam mazhab yang 4.

ABU HANIFAH rhm. ( 80- 150 H ) Abu Hanifah  ( ابو حنيفه ) atau nama sebenar beliau  Nukman bin Thabit  ( نعمان ن ثابت ) dilahirkan pada 80 Hijrah bersamaan 699 Masihi dalam sebuah kampung bernama Anbar di  Kufah ,  Iraq  ketika zaman pemerintahan Khalifah  Abdul Malik bin Marwan . Beliau berasal dari keturunan  Parsi  dan merupakan ulama terkenal Islam yang mengasaskan  Mazhab Hanafi . Gelaran beliau sebagai “Abu Hanifah” diambil kerana beliau sentiasa membawa dakwat ke mana sahaja beliau pergi untuk mencatat ilmu yang dicari. Beliau juga mendapat gelaran Abu Hanifah kerana mempunyai seorang anak bernama Hanifah dan Hanifah juga bermaksud cenderung agama. Beliau terkenal dengan sifatnya yang suka menghulurkan bantuan kepada sesiapa sahaja yang memerlukan bantuannya dan rajin berusaha serta mempunyai cita-cita yang tinggi dalam hidupnya. Beliau juga sangat menghormati guru-gurunya sehinggakan sering memberi hadiah kepada guru-gurunya dan guru-guru yang mengajar anaknya. Beliau pernah
Kisah benar . Ismail Kerbau...Semoga Allah mengampuninya... Dia pernah digeruni suatu ketika dahulu... Disebut² kejahatannya. Tapi, org kampung menghormatinya kerana sikapnya yang suka membantu org dlm kesusahan. Semasa aku masih belajar di pondok Bukit Besar, setiap malam aku dan rakan2ku akan diam2 menyusup ke dlm kebun getah utk mendalami ilmu persilatan Ismail Kerbau. Malam pertama ketika aku mula merisik kawasan Ismail Kerbau melatih anak2 muda kampung ilmu persilatan, aku dan kawanku (Mat Arab) bersembunyi di sebalik semak lalang supaya tidak disedari oleh Ismail Kerbau. Kami sampai lebih awal supaya kehadiran kami tak dihidu oleh Ismail Kerbau. Ketika kami sampai, kelihatan beberapa anak muda kampung sedang berlatih sesama mereka ilmu persilatan mereka dlm kepekatan malam. Hanya ada satu lampu mentol utk menerangkan gelanggang silat ini. Setelah mendapat tempat yg sesuai utk intipan, kami berdua pun meniarap di celah² semak samun itu. Kira² 10 minit, kedengaran dar

Aliran-aliran Pemikiran dalam Islam

Aliran-aliran pemikiran dalam Islam. Muktazilah Muktazilah  (bahasa Arab: المعتزلة al-mu`tazilah) adalah satu dari cabang pemikiran dalam  Islam  yang terkenal dengan sifat  rasional  dan  liberal . Ciri utama yang membezakan pemikiran ini dari pemikiran teologi Islam lainnya adalah pandangannya yang lebih banyak menggunakan dalil 'aqliah (akal) sehingga sering disebut sebagai aliran rasionalis Islam.  Perkataan Muktazilah berasal dari bahasa Arab إعتزل (iʿtazala) yang bermaksud "meninggalkan", "menjauhkan diri". Sejarah perkembangan. Pemikiran Muktazilah mula bertapak pada kurun kelapan Masehi (abad kedua hijrah) di  Basrah ,  Iraq , apabila  Wasil ibn Ata  meninggalkan kelas pembelajaran  Hasan al-Basri selepas berselisih faham mengenai isu  Al-Manzilah bayna al-Manzilatayn  (akan diterangkan kemudian). Beliau dan pengikutnya termasuk  Amr ibn Ubayd  kemudiannya dilabelkan sebagai Muktazili/Mu'tazili. Golongan ini juga menggelar diri m