Skip to main content

Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab Dari Kaca mata Az-Zuhaily dan Hamka.



     Sheikh Muhammad bin Abdul Wahhab adalah nama yang sangat kontroversi di kalangan umat Islam hari ini. Sebahagian kita melihat sosok tokoh ini dalam sudut pandang yang sangat negatif lantaran maklumat yang diterima selama ini. Hikmah Allah tersembunyi di mana-mana, serangan mungkin diniatkan untuk membunuh karakter sesorang, tetapi sebaliknya Allah menghendaki agar nama ini mendapat pembelaan daripada mereka yang hidup selepas beliau. Objektif tulisan kali ini bukanlah untuk menceritakan semula sejarah atau kronologi kehidupan beliau. Malah saya tidak berminat untuk membicarakannya dari aspek itu kerana kurang nilai dari sudut pengajaran yang boleh dijadikan iktibar dan pengajaran kerana terdapat lebih ramai lagi tokoh yang lebih hebat daipada beliau.

Seringkali kita mendengar istilah 'wahabi' ini dilaungkan dalam ceramah-ceramah hanya di peringkat masjid-masjid dan surau-surau sahaja yang rata-ratanya dihadiri oleh orang awam daripada berbagai latar belakang pendidikan. Namun sepanjang saya menuntut di menara gading dalam bidang agama, tidak pula kedengaran nama ini menjadi fokus dalam perbahasan ilmiah tahap tinggi. Waktu itu saya langsung tidak berminat untuk menyelidiki siapa sebenarnya beliau kerana bukanlah satu nama besar dalam dunia intelektual seperti Ibn hajar Al-Asqalani, An-Nawawi, As- Syafei dan sebagainya. Barangkali ada golongan yang telah mulai merasa tergugat dengan terkikisnya penghormatan masyarakat kepada mereka apabila munculnya kesedaran dalam masyarakat untuk menyemak kesahihan fakta dan hujah yang selama ini hanya diterima bulat-bulat oleh masyarakat atas alasan 'takkanlah lebai pun nak menipu'.


Perasaan terancam di kalangan ustaz-ustaz dan tuan-tuan guru ini tidak berhenti begitu sahaja. Malah ia ditanam dalam diri pengikut-pengikut mereka demi 'survival' mereka. Samada mereka sedar atau tidak, mereka telah membunuh semangat untuk menyemak dan mengkritik kesahihan dan ketepatan sesuatu fakta. Saya sangat bersetuju dengan kenyataan  Basri (2015) yang mengatakan, "gerakan yang terlalu mudah melabelkan orang yang tidak sehaluan dalam beberapa isu sebagai Wahabi adalah satu tindakan yang sangat bahaya kepada proses pembelajaran ilmu-ilmu Islam apatah lagi kepada masa depan subjek fiqh perbandingan yang banyak diajar di pusat-pusat pengajian tinggi hari ini".

Dua orang tokoh besar yang saya pilih untuk diketengahkan dalam tulisan kali ini ialah  Al-marhum As Syeikh Dr Wahbah Az-Zuhaily dan Al-Marhum Prof  HAMKA ..


1. Pandangan Almarhum As-Sheikh Dr Wahbah Az-Zuhaily.

Di saat As Sheikh Muhammad Bin Abdul Wahhab sentiasa dikecam, dilaknat dan dituduh dengan berbagai tuduhan-tuduhan yang negatif , Almarhum As Sheikh Prof Dr Wahbah Az Zuhaily pula sebaliknya melihat tokoh kontroversi ini sebagai seorang mujaddid atau reformis yang berjasa dalam aspek pengislahan umat Islam daripada berbagai penyelewengan.  Menurut Sheikh Wahbah:

"Saya dari permulaan lagi mengikut arah ahli sunnah seperti Imam An Nawawi dan lain-lain termasuk pembetulan dari reformer as Sheikh Muhammad bin Abdul Wahhab rhm demi mengasingkan di antara perkara yang menyeleweng dari orang-orang awam yang melakukan adat yang luar biasa." (Az-Zuhaily dalam Nasarudin, 2006).



Beliau kemudiannya membantah penggunaan istilah 'Wahabi' oleh sesetengah golongan yang pada pendapat beliau sebagai tidak relevan dan menganggap semua tuduhan-tuduhan itu sengaja direka oleh musuh-musuh as sheikh muhammad Bin Abdul Wahhab. Kata beliau lagi:

"Saya juga menjelaskan bahawa tidak ada mazhab Wahabi dalam aqidah juga hukum Syara’. Yang ada ialah kumpulan islahaat (reformasi), iaitu mereka yang membaik-pulihkan keadaan masyarakat pada tempatnya. Mereka dalam aqidah adalah mengikut mazhab as-Salafus-Soleh, manakala dalam hukum-hakam mengikut mazhab Imam Ahmad Hanbali rhm" (Nasarudin, 2006)



Mengajak ke arah kebaikan lebih mudah berbanding membenteras keburukan. Membenteras keburukan pastinya mengundang penentangan oleh pihak-pihak yang berkepentingan. Inilah yang sebenarnya berlaku kepada Sheikh Muhammad Ibn Abdul Wahhab.   Kata Az-Zuhaily:

"Di antara suara yang paling berani dan pejuang pembaikan, pembinaan dan jihad yang paling agung bagi memulihkan keutuhan umat Islam dan mengembalikannya semula kepada manhaj salafus soleh ialah seruan yang dikumandangkan oleh Sheikh Muhammad bin Adul Wahhab pada kurun yang ke 12 (kurun 18 Masihi) bagi memperbaharui semula kehidupan umat Islam, setelah dicemari dengan berbagai-bagai prselisihan, kesamaran, bid'ah dan juga penyelewengan dalam kalangan orang awam mereka" (Ibid. m.s 5).

Faktor politik juga tidak ketinggalan dalam memburukkan lagi persepsi terhadap Sheikh Muhammad. Az-Zuhayli juga memetik kata-kata Az-Zarakli sebagai menyebut:

"Beliau dan para pendokongnya dinamakan sebagai golongan Muwahhidin, atau golongan ahli tauhid, ikhwan yang sentiasa taat kepada perintah Allah dan juga ahli al-firqah al.Najiyah (golongan yang berjaya) namun musuh-musuh mereka beliau dan para pendokongnya sebagai golongan Wahabi, sebagai mengaitkan dengan nama beliau. Panggilan yang terakhir ini nampaknya begitu laris disebut-sebut dalam kalangan orang ramai lebih-lebih lagi oleh orang-orang Eropah. Sesetengah orang telah melakukan kesalahan, apabila menjadikan gerakan Islah yang dilakukan oleh Muhammad Bin Abdul Wahhab sebagai mazhab kelima dalam Islam. Oleh kerana terpengaruh dengan apa yang dikumandangkan oleh musuh-musuh Syeikh, terutama masyarakat Turki Uthmaniyyah" (Az-Zuhaili, 2015)






Pandangan Almarhum Prof Hamka.

Tokoh yang paling dekat dengan kita ialah al marhum Prof Hamka. Beliau lebih dahulu merasai peritnya perjalanan mengembalikan umat nusantara kepada penghayatan Islam yang asli. Akibat daripada itu beliau juga teruk dikecam dan seperti biasa dituduh sebagai 'Wahhabi' apabila lawan beliau sudah kehabisan hujah ilmiah. Kekuatan golongan yang disindir dengan 'wahhabi' ini ialah keteguhan mereka dalam berpegang kepada Al-Quran dan As-Sunnah dan menjauhkan tafsiran berkepentingan peribadi atau kelompok tertentu. Akibatnya mereka amat tidak disenangi oleh pihak yang satu lagi yang begitu bermudah-mudah mentafsir maksud dan tujuan nas-nas syarak bagi mengharuskan atau menghalalkan sesuatu yang bid'ah, syirik atau khurafat. Kata Al-marhum:


"Di zaman kita ini, kata "WAHABI" adalah julukan bagi kaum muslimin yang berpegang teguh kepada al-Qur’an dan as-Sunnah dengan pemahaman Salafus Salih. "WAHABI" adalah julukan yang diberikan kepada kaum muslimin yang mendakwahkan tauhid, melarang kesyirikan, mengajak kepada sunnah, anti kepada bid’ah"
( Hamka. Dari Perbendaharaan Lama. cetakan III. Pustaka Panjimas).



Al-marhum Prof Hamka juga tidak terlepas daripada dituduh sebagai 'wahabi' kerana tuduhan 'wahabi' ialah senjata orang yang kehabisan hujah ilmiah lalu menggunakan senjata ejekan bagi menjatuhkan moral pihak lawan. Menurut al-marhum:


"Bagi kami yang dikatakan kaum muda itu tidaklah keberatan jika dituduhkanWahabi. Kalau 20 atau 30 tahun yang lalu semasa pengetahuan agama hanya boleh dipercayai oleh mufti-mufti sahaja, mungkin orang takut dikatakan Wahabi. Tetapi sekarang orang telah tahu bahawa Wahabi tidak lain adalah daripada penganut Mazhab Hanbali dan memang mazhab Hanbali terkenal mazhab yang keras mempertahankan sunah. Dan yang berpengaruh memperbaharui faham Mazhab Hanbali itu ialah Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah dan Ibnu Qayyim. Oleh sebab itu bagi kami dituduh Wahabibukanlah satu penghinaan.” (Prof Hamka, Teguran Suci Dan Jujur Terhadap Mufti Johor, 76-77. Selangor: Pustaka Dini 2009).



Sebelum ini saya tertanya dalam diri  kenapa begitu negatif persepsi para agamawan Nusantara terhadap tokoh ini.  Persoalan ini mengganggu diri saya sehinggalah saya terjumpa tulisan al-marhum ini:

"Dituduhlah kami kaum Wahabi. Siapa Wahabi? Ialah pengikut ajaran Muhammad Abdul Wahab al-Najdi yang hidup pada kurun ke-12 hijrah al-mustafa (kelapan belas kurun miladiyah).
Dari mana dia mengambil pelajarannya? Dari karangan Ibnu Taimiyah dan Ibn Qayyim dan mazhab mereka ialah Hambali. Oleh sebab itu, mereka bermazhab Ahlu Sunah Wal Jamaah juga.

Mengapa nama Wahabi itu sangat dicela dan dibenci orang?
Sebab mereka berontak melawan pemerintah pergi melawan pemerintahan Turki Othmani yang beratus tahun menjajah tanah Arab, maka kerana Turki amat benci kepada kaum yang telah memulai membuka mata bangsa Arab ini…….
Sebab-sebab yang diambil alasan buat mencela kaum Wahabi adalah kerana mereka sangat menentang pemujaan kepada kubur yang telah dipandang orang sebagaimana orang musyrikin menyembah berhala.

Buku-buku mencela Wahabi itu tersebarlah di negeri kita sehingga kataWahabi dipandang sebagai kata penghinaan

(Rujuk : Prof Dr HAMKA, Teguran Suci & Jujur Terhadap Mufti Johor, m/s 74-75, terbitan Pustaka Dini)



Satu lagi kenyataan Prof HAMKA yang mengejutkan ialah peranan seorang kadi di bawah kerajaan Turki bernama as -Sheikh Yusuf Bin Ismail An- Nabhani yang telah menulis buku untuk mentohmah As-Sheikh Muhammad Bin Abdul Wahhab ini. 

“Bersama dengan penghinaan kepada Wahabi, diperbuat pula buku-buku yang memburukkan as-Sayyid Jamaluddin al-Afghani, dan as-Syeikh Muhammad Abduh, dan al-Sayyid Rasyid Ridha. Yang sangat bersemangat membuat buku demikian ialah al-Syeikh Yusuf bin Ismail al-Nabahani yang menjadi kadi di mahkamah Beirut dalam Kerajaan Turki. Bukunya ‘Shawahidul haq’ penuh dengan kata-kata yang penuh dengan fitnah dan penghinaan…kitab-kitab seperti inilah yang sampai ke tangan kaum-tua"
“Oleh kerana mereka biasa dengan taklid tidaklah mereka mahu membaca pula kitab-kitab lain yang menerangkan pokok-pokok pendirian yang sebenar daripada orang yang dihina dan dicela itu. Syeikh Yusuf al-Nabahani menyatakan bahawa as-Sayyid Jamaluddin dan Syeikh Muhammad Abduh tatkala mati terjulur lidah! Maka lekatlah kata-kata ini pada seluruh pembaca kitabnya. Syeikh Nabhani tidak sanggup menerangkan apakah kesalahan beliau-beliau itu, melainkan membuat fitnah yang tidak-tidak. Sampai as-Sayyid Rasyid Ridha dikatakan sama dengan Abu Jahal. Sehingga orang yang otaknya telah beku dan fikirannya tidak jalan, telah percaya kepada fitnah yang dibawa oleh al-Nabhani itu. Oleh kerana ulama yang mula-mula melepaskan tauhid Islam yang suci daripada khurafat dan bidaah mutasawwifin (kelompok sufi-pen) ialah Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah dan muridnya-muridnya Ibnu Qayyim maka beliau-beliau inipun tidak pula lepas daripada serangan. Segala kata yang bukan-bukan pula yang diperbuat atas diri beliau-beliau itu. Memang apabila orang kehabisan hujah dan alasan, mereka pun kembali memakai perkakas fitnah. Dan inilah yang menyebabkan berpecah-belah umat Islam, berkaum tua berkaum muda” (Prof Hamka, Teguran Suci Dan Jujur Terhadap Mufti Johor, 76-77. Selangor: Pustaka Dini 2009).


Para pembaca sekelian, rupa-rupanya inilah kisahnya yang sebenar. Setelah begitu lama saya tercari-cari dari mana punca timbulnya istilah 'wahabi' ini.. Alhamdulillah segalanya sudah dijawab oleh al-Marhum Prof HAMKA dan al-marhum As-Sheikh Dr Wahbah. Semoga coretan ringkas dan santai ini dapat memberi sedikit sumbangan kepada pemurnian kefahaman masyarakat kita.

Wallahu Taala  A'lam.




Rujukan:

1. Bid'ah Yang Mungkar. Prof Wahbah Az-Zuhaili (Terjemahan oleh Ahmad Nasarudin Ismail, Kuala Kangsar, Perak) 2006.

2. Siapakah Sebenarnya Muhammad Bin Abdul Wahhab & Apakah Perjuangan Beliau. ( Penterjemah: Prof Madya Dr Basri Bin Ibrahin, Dr Mohd Zaid Bin Ismail, Dr. Abdul Wahid Bin Saleh). Al-Hidayah Book House Sdn Bhd. 2015.

3. HAMKA. Dari Perbendaharaan Lama. cetakan III. Pustaka Panjimas

4. HAMKA. Teguran Suci & Jujur Terhadap Mufti Johor. Pustaka Dini. Edisi 2010.



Comments

Popular posts from this blog

Biodata ringkas imam-imam mazhab yang 4.

ABU HANIFAH rhm. ( 80- 150 H ) Abu Hanifah  ( ابو حنيفه ) atau nama sebenar beliau  Nukman bin Thabit  ( نعمان ن ثابت ) dilahirkan pada 80 Hijrah bersamaan 699 Masihi dalam sebuah kampung bernama Anbar di  Kufah ,  Iraq  ketika zaman pemerintahan Khalifah  Abdul Malik bin Marwan . Beliau berasal dari keturunan  Parsi  dan merupakan ulama terkenal Islam yang mengasaskan  Mazhab Hanafi . Gelaran beliau sebagai “Abu Hanifah” diambil kerana beliau sentiasa membawa dakwat ke mana sahaja beliau pergi untuk mencatat ilmu yang dicari. Beliau juga mendapat gelaran Abu Hanifah kerana mempunyai seorang anak bernama Hanifah dan Hanifah juga bermaksud cenderung agama. Beliau terkenal dengan sifatnya yang suka menghulurkan bantuan kepada sesiapa sahaja yang memerlukan bantuannya dan rajin berusaha serta mempunyai cita-cita yang tinggi dalam hidupnya. Beliau juga sangat menghormati guru-gurunya sehinggakan sering memberi hadiah kepada guru-gurunya dan guru-guru yang mengajar anaknya. Beliau pernah
Kisah benar . Ismail Kerbau...Semoga Allah mengampuninya... Dia pernah digeruni suatu ketika dahulu... Disebut² kejahatannya. Tapi, org kampung menghormatinya kerana sikapnya yang suka membantu org dlm kesusahan. Semasa aku masih belajar di pondok Bukit Besar, setiap malam aku dan rakan2ku akan diam2 menyusup ke dlm kebun getah utk mendalami ilmu persilatan Ismail Kerbau. Malam pertama ketika aku mula merisik kawasan Ismail Kerbau melatih anak2 muda kampung ilmu persilatan, aku dan kawanku (Mat Arab) bersembunyi di sebalik semak lalang supaya tidak disedari oleh Ismail Kerbau. Kami sampai lebih awal supaya kehadiran kami tak dihidu oleh Ismail Kerbau. Ketika kami sampai, kelihatan beberapa anak muda kampung sedang berlatih sesama mereka ilmu persilatan mereka dlm kepekatan malam. Hanya ada satu lampu mentol utk menerangkan gelanggang silat ini. Setelah mendapat tempat yg sesuai utk intipan, kami berdua pun meniarap di celah² semak samun itu. Kira² 10 minit, kedengaran dar

Aliran-aliran Pemikiran dalam Islam

Aliran-aliran pemikiran dalam Islam. Muktazilah Muktazilah  (bahasa Arab: المعتزلة al-mu`tazilah) adalah satu dari cabang pemikiran dalam  Islam  yang terkenal dengan sifat  rasional  dan  liberal . Ciri utama yang membezakan pemikiran ini dari pemikiran teologi Islam lainnya adalah pandangannya yang lebih banyak menggunakan dalil 'aqliah (akal) sehingga sering disebut sebagai aliran rasionalis Islam.  Perkataan Muktazilah berasal dari bahasa Arab إعتزل (iʿtazala) yang bermaksud "meninggalkan", "menjauhkan diri". Sejarah perkembangan. Pemikiran Muktazilah mula bertapak pada kurun kelapan Masehi (abad kedua hijrah) di  Basrah ,  Iraq , apabila  Wasil ibn Ata  meninggalkan kelas pembelajaran  Hasan al-Basri selepas berselisih faham mengenai isu  Al-Manzilah bayna al-Manzilatayn  (akan diterangkan kemudian). Beliau dan pengikutnya termasuk  Amr ibn Ubayd  kemudiannya dilabelkan sebagai Muktazili/Mu'tazili. Golongan ini juga menggelar diri m