Tajuk : Adab Perbezaan Pendapat Dalam Islam.
Tajuk Asal: أدب الاختلاف في الاسلام
Pengarang : Dr. Taha Jabir Fayyadh Al ‘Alwani
Di saat ahli ilmu melihat perbezaan pendapat sebagai salah satu tanda kebijaksanaan Tuhan yang mencipta seluruh alam ini, sebahagian kita pula melihat perbezaan pendapat sebagai satu bencana pula bagi umat ini. Mereka ini mahukan semua manusia bersetuju dengan mereka dalam semua perkara. Lebih malang ini mereka mula mencipta gelaran yang buruk-buruk dengan harapan pihak yang tidak sehaluan dengan mereka segera lenyap daripada muka bumi ini. Mereka menganggap pihak yang tidak sependapat dengan mereka sebagai biadab dengan ‘para ulamak’ sedangkan ‘ulamak’ yang mereka maksudkan itu telah pun disempitkan definisinya agar terhad dalam lingkungan ilmuwan yang sealiran dengan mereka sahaja. Mana-mana ilmuwan yang tidak sealiran dengan mereka tidak diiktiraf keilmuannya dan tidak tergolong dalam definisi mereka.
Penulis kitab ini telah menekankan di dalam mukaddimahnya iaitu penyakit paling merbahaya kepada umat Islam pada hari ini ialah penyakit 'berselisih pada segala sesuatu' dan 'atas segala sesuatu'. Umat Islam hari ini bagaikan sudah lupa bahawa Islam sendiri tidak mencela sesuatu secara yang keras selepas Islam mencela dosa syirik. Begitu juga Islam menekankan tidak ada lagi yang lebih penting selepas bertauhid melainkan ukhuwwah sesama umat Islam. Akhirnya kita hari ini berselisih dalam sesuatu pendapat sehingga menjadi bagaikan satu medan pertempuran bagi menghukum siapakah yang masihbertauhid dan siapakah yang sudah jatuh kafir.
Saya tertarik dengan perkataan penulis yang mengatakan “ Tiap-tiap yang berlawan adalah berselisih, tetapi bukanlah tiap-tiap yang berselisih itu berlawan”. Apabila perselisihan tidak diasaskan atas dorongan hawa nafsu, perselisihan akan melahirkan beberapa faedah iaitu pertama; memberi peluang untuk mengenal segala kemungkinan yang memungkinkan aplikasi pendalilan yang berdisiplin, kedua; ianya satu latihan berfikir yang baik dan membuka ruang untuk akal yang berbeza mencapai potensi yang berbeza, ketiga; terbukanya berbagai cara penyelesai bagi sesuatu masalah yang lebih mesra dengan keadaan tertentu.
Perbezaan Pendapat semasa hayat Nabi s.a.w
Sejarah agama ini juga telah menyaksikan bahawa perbezaan pendapat berlaku walaupun ketika hayat nabi kita s.a.w hidup di kalangan para sahabat. Mereka bukan manusia yang ada sentiasa di sisi Rasulullah s.a.w kerana mereka manusia biasa yang perlu keluar bekerja atau berdagang kerana mencari rezeki menyara keluarga. Kadang-kadang mereka diutus untuk keluar berdakwah dalam tempoh yang panjang. Maka ketika itu adakalanya mereka terpaksa membuat keputusan yang segera tanpa kemampuan untuk balik bertanya dahulu kepada baginda s.a.w. Maka berlakulah perbezaan dalam berijtihad. Setelah mereka pulang ke Madinah atau bertemu semula dengan Rasulullah s.a.w, baharulah Baginda s.a.w samada mengakui hasil ijtihad mereka sehingga kadang-kadang memperakui lebih daripada satu ijtihad sahaja. Ada ketikanya Baginda s.a.w memperbetulkan semula jika ada kepincangan. Dengan itu selesailah perselisihan pendapat yang berlaku pada zaman itu. Sikap Rasulullah s.a.w ini juga ternyata memberi ruang untuk para sahabat dan umat selepas mereka untuk berbeza pendapat dalam keadaan yang sangat berdisiplin. Para pembaca disajikan oleh penulis kitab ini dengan contoh-contoh yang begitu banyak bagi membuktikan bahawa para sahabat juga berselisih dalam banyak perkara semasa hayat dan selepas kewafatan Baginda s.a.w.
Salah satu contoh sebagai menjelaskan lagi isu ini ialah
penulis membawakan petikan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari dan
Muslim bhawa Nabi s.a.w bersabda dalan isu solat asar dalam peristiwa
peperangan Ahzab yang bermaksud:
لَا يُصَلِّيَنَّ أَحَدٌ الْعَصْرَ
إِلَّا فِي بَنِي قُرَيْظَةَ
” Janganlah
seorang pun daripada kalangan kamu menunaikan solat asar sehinggalah tiba di
perkampungan Bani Quraizah”
Perkataan
Baginda s.a.w ini telah menimbulkan beberapa pendapat daripada kalangan para
sahabat. Sebahagian mereka melakukan solat Asar kerana bimbang lupus waktu dan
sebahagian pula mentaati perintah Nabi s.a.w secara literal dan tidak melakukan
solat sehinggalah tiba di perkampungan Bani Quraizah. Setelah pulang ke
Madinah, kedua-dua kelompok yang berbeza pendapat ini membawa kes ini kepada
Nabi s.a.w untuk kepastian. Ternyata nabi s.a.w membenarkan kedua-dua belah
pihak dan tidak mencela mana-mana kelompok. Inilah bukti yang jelas perbezaan
pendapat diraikan dalam mengamalkan agama selagi tidak melanggar mana-mana
keputusan yang telah diputuskan oleh Allah dan RasulNya.
Contoh yang
kedua ialah dalam kes hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan Al-Hakim
daripada Amru bin Al-‘Ash yang menunaikan solat dalam peperangan Zat al Salasil
dalam keadaan tidak mandi junub kerana udara yang terlalu sejuk. Beliau hanya
bertayamum. Apabila ditanya oleh Nabi s.a.w, beliau lantas membacakan ayat:
وَلَا
تَقْتُلُوا أَنْفُسَكُمْ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا
“ Jangan
kamu bunuh diri-diri kamu. Sesungguhnya Allah Maha Pengasih terhadap diri-diri
kamu”
(An-Nisa’:
29)
Ternyata
Nabi s.a.w merasa lucu dengan jawapan beliau dan tertawa tanpa mengatakan
apa-apa lagi. Tiada bantahan atau celan daripada Baginda s.a.w.
Perbuatan
Nabi s.a.w dalam kes-kes seperti tadi memberi gambaran bahawa Nabi s.a.w
mengiktiraf kedua-dua manhaj iaitu berpegang pada zahir lafaz hadis ataupun
berpegang kepada makna di sebalik zahir lafaz hadis yang juga disebut sebagai ‘ta’wil’.
Bagi menjelaskan lagi pemahaman pembaca, penulis kitab juga menghuraikan
jenis-jenis ta’wil dan garis panduan penggunaan ta’wil. Ta’wil memerlukan
kemampuan berfikir yang mendalam yang jika digunakan tanpa berdisiplin maka
jadilah seperti apa yang berlaku hari ini di mana dalil ditundukkan bagi
mencapai tujuan manusia secara sangat
tidak beramanah dan keji. Ada kelompok yang menggunakan ta’wil bagi
semua perkara termasuk dalam perkara yang sebenarnya tiada ruang untuk ta’wil
dan ijtihad. Seperti yang dinyatakan tadi, mengaplikasikan ta'wil bukanlah ditolak oleh agama secara keseluruhan. Terdapat disiplin yang ketat bagi seorang mujtahid yang menggunakan ta'wil bagi tujuan mengithbatkan makna-makna bagi sesuatu nas. Penggunaan ta'wil secara tidak berdisiplin dalam sejarah telah melahirkan aliran-aliran batil seperti Batiniah dan sebagainya. Maka dengan itu penulis menegaskan bahawa berpegang pada zahir nas
dan menyerahkan sepenuhnya kepada Allah akan sesuatu makna, maksud dan kaifiat
adalah cara yang diguna pakai oleh golongan salafus soleh dan ianya adalah jalan yang
paling selamat.
Perbezaan Pendapat di Zaman Sahabat r.a.
Para sahabat r.a berselisih pendapat dalam banyak perkara. Bermula dengan cara bacaan al-Quran, hukum-hakam ibadah, muamalah dan sebagainya sehinggalah kepada hakikat kewafatan Nabi s.a.w. Saidina Umar al-Khattab r.a yang dikenali sebagai antara sahabat yang paling faqih tentang maksud-maksud wahyu Allah SWT pun boleh tersilap tentang maksud ayat dalam surah Al-Baqarah : 143 tentang kesaksian Baginda s.a.w terhadap umatnya dan menyangka ayat itu memberi maksud Nabi s.a.w tidak wafat sampai ke akhirnya. Namun Umar r.a tersepuk di atas bumi dan terlepas pedang di tangan beliau setelah Saidina Abu Bakar r.a membaca ayat daripada surah Ali-Imran: 144 tentang kewafatan Nabi s.a.w adalah benar. Begitu juga para sahabat berselisih pendapat dalam masalah menguburkan jasad Baginda s.a.w, masalah khilafah selepas kewafatan Baginda s.a.w, masalah memerangi golongan yang enggan membayar zakat dan sebagainya. ini baharu perselisihan antara Abu Bakar r.a dan Umar r.a, belum lagi kita bercerita tentang sahabat-sahabat agung yang lain seperti Uthman r.a, Ali r.a , Ibn Mas'ud r.a, Ibn Abbas r.a, Zaid bin Thabit r.a dan sebagainya. Pembaca akan mendapati dalam buku ini kisah-kisah perselisihan mereka yang ada ketikanya sangat sengit namun mereka tetap memelihara adab dan kasih-sayang sesama mereka. Kita akan kehairanan dengan jenis manusia apakah para sahabat ini sehingga mereka masih mempu beradab dan berkasih sayang dalam perselisihan pendapat yang runcing dan serius. Mereka masih mampu memuji sesama mereka, memimpin kuda tunggangan malah masih mampu mencium tangan sahabat yang berbeza pendapat dengan mereka malah ada yang terpaksa terlibat dalam peperangan sesama mereka seperti perang Jamal. Hati pembaca pasti terusik dengan paparan kisah-kisah mereka yang unik ini. Apa yang dirumuskan oleh penulis kitab ini ialah hawa nafsu bukanlah menjadi tenaga pendorong bagi mereka untu berbeza pendapat.
Perbezaan Pendapat di Zaman Tabi'in
Perbezaan pendapat dalam memahami agama ini berterusan sehingga ke zaman tabiin. Betul agama ini telah sempurna, tetapi tidak bermakna agama mengajar umat ini untuk membeku dan tidak berusaha mengembangkan daya intelektual mereka supaya agama berfungsi dalam konteks zaman yang berbeza. Para Tabi'in memikul tanggungjawab yang mereka ambil alih daripada para sahabat r.a. Antara tokoh-tokoh yang harum nama mereka ialah seperti Said bin Musayyib, 'Atha' bin Rubah, Thawus, Yahya bin Kathir Hassan al-Basri, Makhul, 'Atha (Khurasan) 'Alqamah dan sebagainya. Merekalah yang mewarisi ilmu dan adab para sahabat dalam perbezaan pendapat dan dalam memutuskan hukum dan dalam memahami nas-nas syarak dengan manhaj yang berbagai. Prinsip mereka jelas dalam perbezaan pendapat seperti yang dinukilkan oleh penulis daripada perkataan Imam Abu Hanifah " Pendapat kami ini tidak kami paksakan kepada seseorang, dan kami tidak berkata : wajib atas seseorang menerimanya dengan sikap yang benci, sesiapa ada disisinya pendapat yang lebih baik, sila kemukakan". Saya tertarik dengan satu kata-kata pengantar di awal buku ini yang dinukil oleh Umar Ubaid Hasnah. Kata beliau, "Sesungguhnya kita berusaha untuk mendapatkan pengetahuan, tetapi kita kehilangan akhlaknya. Kita memiliki cara-caranya, tetapi kita kehilangan tujuan dan matlamatnya. Alangkah sering terjadi disebabkan pertikaian kita dalam masalah sunat dan harus, kita luput dari perkara-perkara fardu dan wajib. Kita sangat mahir dalam soal perbezaan pendapat, tetapi kita kehilangan adabnya dan melazimi akhlaknya". Inilah yang sedang kita hadapi sekarang. Mengembalikan kecemerlangan adab tokoh-tokoh agung perlu disemai semula dalam generasi mutaakhirin ini dan ianya satu cita-cita yang indah jika dapat direalisasikan. Kunci bagi semua ini ialah segala perselisihan perlu dihadapkan semula kepada Al-Quran dan Sunnah. Racun bagi semua ini pula ialah hawa nafsu dan bid'ah. Racun inilah yang telah menyeret umat Islam terdahulu hanya disebabkan perbalahan politik telah meleret sehingga menjadi isu aqidah dan fiqh. Buktinya ialah munculnya golongan Syi'ah, Jahmiyyah, Muktazilah dan Khawarij.
Perdebatan ilmiah pada zaman Tabi'in amat subur di sana-sini. Pertembungan pendekatan Hijaz dan Iraq dalam memahami nas amat sengit. Mereka berdialog dan kritik-mengkritik namun mereka tidak sampai menjatuhkan hukum kafir, fasiq dan sebagainya kepada saudara seagama. Penulis telah memberi satu contoh pertembungan antara dua imam besar dalam fiqh iaitu Imam Abi Ja'afar dan Imam Abu Hanifah. Bagaimana hebatnya akhlak Imam Abu Hanifah yang diasak dengan soalan oleh Imam Abi Ja'afar namun Imam Abu Hanifah yang sangat terkenal dengan kemahiran berhujah masih mampu mengambil sikap tidak melawan demi menghormati seorang imam dari kalangan Ahlul Bait. Kisah Ibn Abbas r.a yang sanggup berdialog dengan golongan Khawarij juga tidak kurang hebatnya. Beliau berdialog sehingga sejumlah 2000 orang daripada 8000 orang Khawarij telah bertaubat dan kembali ke pangkal jalan. Para pembaca pasti akan terkesima dengan paparan kisah-kisah agung tokoh-tokoh silam ini. Cuma persoalannya sekarang, ke manakah hilangnya budaya ini daripada umat Islam?. Kita menyerang sesama sendiri, tetapi bila diajak untuk berdialog mencari kebenaran, kita dituduh sengaja mengelirukan masyarakat. Sebenarnya masyarakat tidak akan keliru jika budaya dialog ini disuburkan semula. Para agamawan perlu berhenti menjadikan agama ini milik mereka secara eksklusif.
Di fasal yang ketiga, para pembaca disajikan pula dengan sejumlah jaguh-jaguh ilmu fiqh berserta manhaj beberapa tokoh besar yang sering menjadi rujukan umat Islam kini. Sebahagian pembaca yang kurang biasa dengan perbahasan mazhab-mazhab dalam Islam mungkin akan sedikit terkejut membaca di bahagian ini kerana selama ini mereka hanya biasa mendengar tentang mazhab yang empat iaitu Hanafi, Maliki, Syafei dan Hanbali. Sebenarnya jumlah mazhab yang pernah muncul selepas era sahabat dan tabi'in berjumlah 13 mazhab semuanya. Namun karya mazhab-mazhab ini yang sempat dibukukan samada secara lengkap atau sebahagiannya hanya 8 atau 9 mazhab dan banyak yang tidak tersebar seperti 4 mazhab yang paling menonjol pada hari ini. Antara imam-imam yang pernah mengasaskan manhaj fiqh ialah:
1. Imam Abu Sa'id Al Hasan bin Yasar Al Basri, wafat 110 H
2. Imam Abu Hanifah Al Nu'man bin Thabit, wafat 150 H
3. Imam Al Auza'ie Abu Amru Abdul Rahman bin Amru bin Muhammad, wafat 157 H
4. Imam Sufyan bin Sa'id bin Masruq Al Thauri, wafat 160 H
5. Imam Al Laith bin Sa'ad, wafat 175 H
6. Imam Malik bin Anas Al Asbuhi, wafat 179 H
7. Imam Sufyan bin 'Uyainah, wafat 198 H
8. Imam Muhammad bin Idris Al Syafei, wafat 204 H
9. Imam Ahmad bin Muhammad bin Hanbal, wafat 241 H.
10. Imam Daud bin Ali Al Asbihani Al Baghdadi ( Al Zahiri), wafat 270 H
11. Imam Ishak bin Rahawaih, wafat 237 H
12. Abi Thaur Ibrahim bin Khalid Al Kalbi, wafat 240 H.
Malahan sebenarnya masih banyak lagi yang tidak dapat disenaraikan semuanya. namun apa yang dipaparkan oleh penulis buku ini sudah cukup untuk membuka minda pembaca agar tidak menghadkan skop hukum hakam fiqh ini hanya dalam lingkungan mazhab masing-masing sahaja. Sudah tiba masanya kita tidak lagi beranggapan bahawa kebenaran hanya berkumpul dalam satu-satu mazhab sahaja dan selain daripada mazhab yang kita anuti itu dianggap tidak benar. Sikap fanatik kepada mazhab masing-masing hanyalah menjauhkan hati-hati sesama umat Islam dan masing-masing akan berhempas-pulas dan memerah seluruh tenaga dan fikiran semata-mata untuk membuktikan kebenaran mazhab masing-masing dan bukannya untuk perjuangkan Islam.
Terdapat dua manhaj utama yang membahagikan imam-imam mujtahid yang empat ini. Satunya dikenali sebagai fuqaha' hadis dan athar, dan satu lagi ialah manhaj fiqh ahlul ra'yi yang lebih cenderung menggunakan ijtihad berbanding menggunakan hadis atas faktor-faktor tertentu. Tiga orang imam yang cenderung kepada manhaj hadis dan athar ialah Imam malik, imam As Syafei dan Imam Ahmad yang juga dikenali sebagai fiqh ahli Madinah. Mereka juga lebih terpengaruh dengan cara pemikiran madrasah Said ibn Musayyib yang mengutamakan fiqh Para Sahabat dan dan athar. Berbeza pula dengan fiqh madrasah Ibrahim An Nakhaie yang cenderung menggunakan ra'yi jika ketiadaan athar. Ada ketikanya mereka berpindah mengunakan manhaj antara satu sama lain apabila keadaan memerlukan dan ia adalah normal. Kebiasaan berpindah-pindah manhaj ini kemudiannya menjadi berkurangan apabila pemerintah Bani Abbasiah berusaha membawa ulama-ulama Hijaz ke Iraq untuk menyebarkan sunnah di sana. Ulama-ulama ahlul ra'yi yang berpusat di Iraq pula tidak kurang juga yang mengembara ke Hijaz untuk menuntut ilmu dengan para ulama Hijaz. Dengan ini banyak cara pemikiran Iraq telah berpindah ke Hijaz dan begitu juga banyak cara pemikiran Hijaz berpindah ke Iraq daripada aktiviti bertukar-tukar ilmu sesama mereka. Dan perlu juga dinyatakan di sini terdapat satu lagi manhaj yang agak berpengaruh iaitu manhaj Zahiri yang berpegang kepada zahir ayat-ayat Al-Quran dan as-sunnah.
Pembaca akan menyedari juga bahawa manhaj atau metodologi yang dibuat oleh imam-imam mujtahidin ini bukanlah 'wahyu' daripada Tuhan sehingga kita wajib mengikat diri dengan satu-satu manhaj tanpa kompromi untuk berpindah kepada manhaj imam-imam lain dan memalingkan diri daripada yang yang lebih sepatutnya iaitu Al-Quran dan As-Sunnah. Bahkan bukan juga tujuan imam-imam ini mengasaskan manhaj mereka semata-mata untuk mengikat umat Islam dengan manhaj yang mereka hasilkan.
Sebab-sebab Berlaku Perbezaan Pendapat.
Perbezaan pendapat sesama manusia berlaku secara tabi'ie kerana masing-masing mempunya potensi, pengetahuan, latar belakang dan pengalaman yang berbeza. Begitulah apa yang berlaku di kalangan para imam-imam mujtahidin.Mereka berbeza bukanlah kerana didorong oleh nafsu bahkan mereka berbeza semata-mata mencari kefahaman yang paling tepat tentang nas-nas syarak. Tiada niat lain selain daripada ini. Perbezaan pendapat di kalangan mereka sebenarnya adalah kurnia daripada Allah kerana sesuatu fatwa boleh jadi sesuai bagi sesuatu keadaan dan tempat tetapi tidak sesuai bagi yang lain. Namun mereka masih terikat dengan dua syarat yang tiada kompromi iaitu 1) menggunakan dalil yang sah; 2) tidak membawa kepada kebatilan.
Para imam berbeza kerana pertamanya kemampuan mereka memahami lafaz nas dalam bahasa arab yang kaya dengan makna. Mereka berusaha memilih makna yang paling tepat untuk membantu kita memahami nas. Kedua; disebabkan oleh riwayat sunnah yang kadang tidak sampai kepada mereka. Ada juga kes-kes yang hadis itu sampai kepada mereka tetapi mereka berbeza dari segi memahami kehendak hadis atau ada sebab-sebab tertentu yang menghalang mereka daripada beramal. Ketiga; mereka berbeza dari segi kaedah usul dan panduan istinbat yang mereka gunakan. maka berlakulah perbezaan sesama mereka dalam memutuskan sesuatu fatwa.
Beberapa kisah lagi yang saya rasa kerugian jika tidak saya salin di sini buat tatapan para pembaca yang saya hormati.
a) Imam as Syafei dan sahabat-sahabat beliau pernah memunaikan solat berimamkan para imam bermazhab Maliki yang berpegang tidak wajib membaca basmalah dalam bacaan Fatihah. Mereka tidak pun mengulangi solat mereka walaupun mereka berpegang kepada wajib membaca basmalah.
b) Imam Abu Yusuf menjadi makmum kepada khalifah harun Al Rasyid yang baharu saja berbekam padahal imam Abu Yusuf berpegang kepada pendapat bekam membatalkan wudhuk.
c) Imam Ahmad pula berpegang kepada batal wudhuk kerana keluar darah daripada hidung atau berbekam, namun apabila ditanya tentang hukum berimamkan orang yang keluar darah daripada tubuhnya, beliau menjawab, "Kenapa saya tidak boleh solat berimamkan Malik dan Said bin Musayyib?".
d) Imam As Syafei pernah solat berdekatan maqam imam Abu Hanifah dan beliau tidak membaca qunut dalam solat subuh yang beliau hukumkan dengan sunat muakkad. Apabila ditanya tentang itu, jawab Imam As Syafei " Adakah patut aku menyalahkan beliau ( Imam Abu Hanifah) pada hal aku sedang berada di hadapan beliau?". Tambah beliau lagi "Boleh jadi kami telah cenderung kepada mazhab ahli Iraq".
e) Imam Malik ketika khalifah Al Mansur ingin menguatkuasakan penggunaan kitab Al Muwatha' ke seluruh negeri di bawah pemerintahannya, imam Malik menolak dengan kata beliau " Ya Amirul Mukminin, jangan lakukan ini kerana orang ramai telah mempunyai berbagai pendapat sebelum ini dan telah mendengar hadis dan meriwayatkannya. Setiap golongan telah mengambil apa yang terlebih dahulu sampai kepada mereka sehingga terjadi perbezaan pendapat. Oleh itu biarkanlah mereka memilih sendiri apa yang dianggap baik untuk diri mereka". Kemudian berkata khalifah," Semoga Allah bersama kamu wahai Abu Abdillah".
Demikianlah beberapa paparan kisah kemuliaan adab para salaf dalam menghadapi perbezaan pendapat. Biarpun mereka berbeza dalam banyak pendapat-pendapat mereka, mereka masih memelihara kemulian sesama mereka. Mereka sering memuji kebaikan antara satu sama lain. Namun tegas penulis kitab ini, ketandusan adab dalam berbeza pendapat ini mulai ketara apabila sikap taqlid dan fanatik semakin menjadi pilihan dikalangan umat Islam serta kemerosotan akhlak ahli ilmu. Saya amat bersetuju dengan penulis kitab ini kerana sikap hanya bertaqlid menyebabkan umat Islam kehilangan kesungguhan untuk mengkaji dengan lebih mendalam dalil-dalil yang diperbahaskan di kalangan ahli ilmu dan membataska ruang pandang mereka hanya dalam satu aliran yang mereka pelajari sahaja. Lama-kelamaan taqlid ini berpotensi pula untuk menyemai sikap fanatik terhadap aliran tertentu dan para pengikut mengerahkan seluruh umur dan tenaga mereka semata-mata untuk membuktikan kepada pihak lain bahawa aliran atau guru merekalah yang lebih hebat daripada aliran atau guru-guru lain. Keadaan akan lebih merosot lagi jika guru atau pengikutnya mula kehilangan adab dan terpesong daripada tujuan ilmu. Sindir-menyindir dan cerca-mencerca akan menjadi senjata untuk melenyapkan karakter aliran lain yang dianggap sebagai pencabar kepada aliran kebanggaan mereka. Begitulah bahayanya jerat taqlid dan fanatik kepada umat Islam. Sebab itu perbezaan pendapat pada zaman mutaakhirin ini sudah tidak lagi dipandang sebagai satu kurniaan agung daripada Allah, tetapi kini ditanggapi sebagai perpecahan dan perbalahan serta mimpi buruk bagi umat Islam hari ini. Dahulu mereka berselisih untuk mencari yang paling benar, tetapi hari ini kita berselisih untuk memenangkan guru dan kumpulan masing-masing.
Suasana Kurun Keempat.
Kurun keempat menyaksikan terhentinya aktiviti ijtihad dan mulai diambilalih oleh taqlid. Penyususnan kitab-kitab juga mulai hanya berkisar dalam satu mazhab sahaja. Suatu fenomena yang tidak pernah berlaku pada tiga kurun terawal. Kemunculan ilmu kalam yang sengaja menimbulkan polemik aqidah mula menconteng wajah asal Islam. Perdebatan aqidah kemudiannya berjangkit ke dalam perbahasan fiqh, Masing-masing mengaku berjuang untuk Islam dan atas nama Islam. Nama-nama imam-imam mujtahidin diseret di dalam perdebatan-perdebatan dengan tujuan membuktikan sesorang imam lebih utama daripada imam-imam yang lain. Ia juga tidak terhenti semata-mata di meja perdebatan, malah yang lebih tragis sehingga membawa kepada pertumpahan darah dan kehilangan nyawa. Semua ini bermula dengan penekanan kepada taqlid dan kemudiannya membuahkan fanatik mazhab yang bukan menjadi tujuan para imam-imam mujtahid ketika mereka mengasaskan manhaj masing-masing. Kekayaan intelektual yang berbagai sudah tidak dihargai malah dianggap mengancam maruah mazhab yang dianuti.
Status fiqh selepas kurun ketiga ini sekurang-kurangnya telah terbahagi kepada tiga keadaan penggunaannya: 1) Fiqh yang bersifat teori dan andaian yang jumud dan tidak disesuaikan dengan realiti dan keperluan umat Islam ketika itu; 2) Fiqh yang seakan mengambil kesempatan iaitu dengan cara bermudah-mudah untuk menghalalkan segala perkara; 3) Fiqh yang suka mengambil pendapat yang ketat sehingga manusia benci dengan hukum syarak.
Kekhuatiran kepada orang-orang bukan ahli memasuki pintu ijtihad telah menyebabkan sebahagian ilmuwan ketika itu mula mencari-cari jalan keluar bagi merungkai masalah ini. Malangnya jalan penyelesaian yang mereka temui ialah dengan cara menghumbankan umat Islam ke jurang taqlid. Setiap fatwa sangat terhad dan hanya berlegar dalam lingkungan mazhab imam yang empat. Imam al Haramain (wafat 478 H) telah membuat dakwaan yang ganjil iaitu telah berlaku ijmak dikalangan muhaqiqin bahawa tidak dibolehkan lagi mengikut pendapat para sahabat r.a, tetapi wajib mengikut pendapat para imam mazhab. Ibnu Salah ( wafat 643 H) juga telah menuruti jejak Imam al Haramain dengan mewajibkan taqlid kepada imam-imam yang empat.
Semenjak itu, bermulalah umat Islam mencuaikan pengkajian terhadap ilmu-ilmu Al Quran dan cabang-cabang ilmu As Sunnah kerana mereka hanya berpada dengan memindahkan dan menukilkan sahaja pendapat-pendapat imam mazhab. Seseorang dianggap faqih jika mampu menukilkan sejumlah pendapat fuqaha' dan seseorang dianggap muhaddis hanya dengan mampu menghafaz sejumlah hadis pula. Akal umat semakin menuju kepada kemandulan dan telah membuka ruang untuk bid'ah, khurafat dan berbagai penyelewengan yang sedikit demi sedikit mengikis ketamadunan umat Islam.
Penutup
Hari ini kita mengukur keilmuwan manusia hari ini berdasarkan saiz 'stor' maklumat seseorang. Kegiatan keilmuan Islam hanyalah proses memindahkan maklumat daripada dada seorang guru ke dalam dada murid. Maklumat yang diterima terus ditelan tanpa ada usaha untuk penganalisaan maklumat sebagai memastikan ketepatannya dari sudut ilmiah. Mana-mana ilmuwan yang cuba melawan arus perdana ini akan dipandang serong dan ada yang dihukum sesat dan dituduh cuba mengelirukan umat Islam. Projek pembodohan umat ini berleluasa dan penguatkuasaan undang-undang oleh pihak-pihak tertentu yang menguasai institusi agama sedang dilaksanakan ke atas mana-mana ilmuan yang berani melawan arus.
Kita sekarang ini sedang lena dibuai taqlid. Tiada siapa yang berani mengaku benar-benar berjaya melepaskan diri daripada taqlid sepenuhnya. Akar taqlid telah membelit dan mencengkam erat umat ini sehingga kelompok yang menyeru kepada pembebasan daripada taqlid sendiri pun masih belum dapat meloloskan diri daripada taqlid. Tiada lagi siapa yang berani mengaku mampu mengambil hukum terus daripada Al-Quran dan As Sunnah melainkan terpaksa mentelaah sejumlah kitab dan bertaqlid kepada penulis-penulis kitab yang mereka pilih. Namun begitu usaha meningkatkan kemampuan diri untuk meningkat daripada istilah 'taqlid buta' kepada taqlid yang lebih terpuji juga telah semakin berkembang secara positif dalam kalangan umat Islam hari ini. Umat Islam sudah mulai berani bertanya dalil, ada yang sudah mampu membandingkan antara dalil-dalil dan mentarjihkan dalil yang paling kuat untuk dipegang. Setidak-tidaknya ini adalah satu kemajuan yang sedang berlaku. Apa yang paling utama di ketika ini ialah masing-masing perlu terus mempelajari dan menghayati satu ilmu yang sangat berharga yang sedang diperkatakan dalam tulisan ini iaitu 'Adab al Ikhtilaf" yang kita warisi daripada para salaf.
Akhir kata, semoga sedikit sumbangan saya ini dengan meringkaskan buku yang ditulis oleh Dr Taha ini dapat menyumbang kepada kesedaran dan kefahaman umat ini tentang adab yang sudah lama diabaikan oleh masyarakat kita. Saya hanya mampu meringkaskan dan memberi sedikit ulasan berdasarkan kemampuan saya yang sangat terhad daripada buku yang berharga ini dan mengharapkan ia dapat menarik minat para pembaca untuk terus mengkaji ilmu Adab al Ikhtilaf ini. Kepada Allah kita memohon hidayah dan taufiqNya.
والله تعالى أعلم
Selesai jam 15:08
Tarikh: 20.07.2018.
Comments
Post a Comment